Salah guna GLC jadi faktor kepincangan tangani wabak, kata ahli ekonomi

Salah guna GLC jadi faktor kepincangan tangani wabak, kata ahli ekonomi

Syarikat berkait kerajaan (GLC) sepatutnya dikerah untuk menyelesaikan masalah kesihatan dan ekonomi ekoran wabak, sebaliknya kerajaan menggunakannya sebagai alat politik.

Ahli ekonomi berkata, tindakan kerajaan menggunakan GLC sebagai alat politik membawa banyak akibat buruk, termasuk kegagalan dalam sektor kesihatan dan farmaseutikal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Salah guna oleh kerajaan mengakibatkan syarikat berkait kerajaan (GLC) gagal membuat sumbangan bermakna dalam perang melawan Covid-19, dakwa seorang ahli ekonomi.

Edmund Terence Gomez berkata, GLC sepatutnya dapat dikerahkan untuk menyelesaikan masalah kesihatan dan ekonomi yang timbul akibat wabak, namun kerajaan memilih untuk menggunakan banyak daripadanya untuk menolong menangani krisis politik.

Ketika sekatan pergerakan mula dilaksanakan pada Mac 2020 katanya, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan, “ekosistem kerajaan” akan digunakan untuk membantu syarikat dan masyarakat umum.

“Ekosistem yang dimaksudkannya termasuk GLC,” katanya kepada FMT.

Edmund Terrence Gomez.

Beliau berkata, beberapa GLC dalam pelbagai sektor digunakan untuk membantu dan ini termasuk bank yang menawarkan moratorium pinjaman dan syarikat telekomunikasi yang memberikan perkhidmatan internet percuma.

“Bagaimanapun apa yang juga terjadi adalah kerajaan melantik ahli politik sebagai pengarah syarikat berkenaan,” katanya.

“Memandangkan negara ketika itu berdepan krisis politik ekoran perubahan kerajaan yang tidak disangka-sangka, Ahli Parlimen yang tidak dilantik ke Jemaah Menteri baharu yang sangat besar itu sebaliknya diberi jawatan dalam GLC.

“Pelantikan ini dikritik secara meluas sebagai sangat tidak bertanggungjawab kerana GLC digunakan sebagai alat politik, iaitu sebagai cara untuk menghimpunkan kekuatan dan sokongan.”

Gomez berkata, “dapat dilihat dengan jelas” bahawa “tindakan tidak bertanggungjawab ini” membawa banyak akibat buruk, termasuk kegagalan GLC dalam sektor kesihatan dan farmaseutikal menyelaraskan usaha bagi menangani lonjakan kes.

“Kerajaan turut dikritik kerana sangat lambat dalam memperoleh dan mengedarkan vaksin. Turut timbul tuduhan berhubung kronisme,” katanya.

Beliau percaya kerajaan tidak tahu bagaimana untuk menggunakan GLC secara terselaras.

“Wabak ini membawa pelbagai masalah yang harus ditangani secara kolektif dengan kerjasama pelbagai jenis GLC.

“Bagaimanapun cara wabak ditangani setakat ini menunjukkan bahawa setiap kementerian yang mengendalikan GLC tidak berkomunikasi antara satu sama lain untuk mencari penyelesaian yang selaras.”

Beliau menyeru agar GLC digunakan sepenuhnya sebagai rakan kongsi dalam usaha memerangi wabak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.