
Katanya, dakwaan dibuat oleh saluran media Indonesia, Suara.com mengenai kemunculan varian itu adalah palsu.
“Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kesahihan kandungan berita di portal Suara.Com bertajuk ‘Covid-19 Varian Mu Sudah Masuk Malaysia, Dokter Paru: Indonesia Jangan Kecolongan Lagi’ seperti yang tular di media sosial.
“KKM meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sebaliknya orang ramai disaran supaya merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” katanya dalam kenyataan.
Laporan berkenaan memetik amaran seorang doktor Indonesia agar orang ramai berwaspada memandangkan varian Mu didakwanya dikesan di negara ini.
Varian Mu pertama kali dikesan di Colombia pada Januari dan diklasifikasikan sebagai varian mendapat perhatian (VOI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memberi amaran bahawa ia mempunyai mutasi yang menunjukkan tahap kemungkinan ketahanan terhadap vaksin sedia ada.