Swasta tak simpan data rakyat, kata Hamzah

Swasta tak simpan data rakyat, kata Hamzah

Hamzah Zainudin menolak dakwaan yang mengatakan kerja penyimpanan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini diberikan kepada pihak swasta.

Polis sedang menyiasat secara terperinci kes kehilangan wang USD6.94 juta (RM29 juta) membabitkan pegawai SPRM, menurut Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan yang mengatakan kerja penyimpanan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini diberikan kepada pihak swasta, sebaliknya berkata, semua tugas itu dilakukan agensi kerajaan berkaitan.

Menterinya Hamzah Zainudin berkata, ia hanya andaian pihak tertentu, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“Semalam saya sudah jawab isu berkaitan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ini, saya sudah maklum kita hanya beri (tugas penyimpanan data dan maklumat peribadi) kepada agensi kerajaan.

“Kita tidak beri kepada pihak swasta, semua itu (dakwaan penyimpanan data dan maklumat peribadi oleh pihak swasta) hanya andaian semata-mata,” katanya yang dipetik Berita Harian pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan AKSEM kepada polis yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Semalam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran dan ketirisan maklumat dalam pangkalan data peribadi MyIdentity dengan sistem kawalan keselamatan data FireWall adalah sangat kukuh melindungi semua maklumat peribadi rakyat.

Susulan itu, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kebocoran empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang lahir sejak 1979 sehingga 1998 yang didakwa dari sistem MyIdentity.

Mengulas mengenai hasil siasatan polis berhubung kes kehilangan wang USD6.94 juta (RM29 juta) membabitkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hamzah berkata, polis sedang menyiasat kes itu secara terperinci.

“Isu ini kita kena buat siasatan secara terperinci dahulu dan apabila siap siasatan, baharu kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Semalam, AGC memaklumkan Bahagian Pendakwaan agensi itu telah menerima kertas siasatan berhubung kes berkaitan kehilangan wang USD6.94 juta (RM29 juta) daripada SPRM.

Pada 23 September lalu, BERNAMA melaporkan polis akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, iaitu bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.