
SN Nair berkata, Idrus sepatutnya mempertimbangkan bukti selepas polis menyerahkan semula kertas siasatan susulan keputusan Mahkamah Koroner berhubung kematian Adib pada 2019.
“AG perlu membuat keputusan berdasarkan siasatan polis, sama ada mahu mendakwa sesiapa atau sebaliknya.
“Sebagai pelindung kepentingan awam, beliau patut berhenti ‘menutup mata’ terhadap isu itu,” kata peguam yang pernah menjadi anggota polis itu kepada FMT.
Katanya, polis sekadar melakukan siasatan dan AG sebagai Pendakwa Raya yang memiliki kuasa akhir untuk memutuskan sama ada wujud kes yang boleh dibawa ke mahkamah.
Nair berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hmidi semalam yang menggesa siasatan terhadap kematian Adib diteruskan, susulan laporan bahawa ia telah dihentikan sementara waktu.
Zahid berkata, siasatan mesti diteruskan sehingga kebenaran didedahkan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin pada Sabtu lalu dilaporkan berkata kes Adib itu akan ditutup buat masa ini.
Zuraida menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada masa kejadian, dan memegang portfolio sama selepas itu dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Adib, 24, anggota bomba dan penyelamat dari balai Subang Jaya mengalami kecederaan teruk ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, pada 27 Nov 2018.
Beliau meninggal dunia pada 17 Dis, iaitu 21 hari selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara dalam keadaan kritikal.
Pada 19 Sep 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan lebih daripada dua individu yang tidak dikenal pasti telah menyebabkan kematian Adib.
Katanya, terpulang kepada polis dan Peguam Negara untuk membuat pendakwaan.
Pada 13 Julai tahun lalu, bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, tiada saksi kukuh dalam kejadian itu, namun usaha masih diteruskan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.