
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut bagi setiap anggota Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Pada 24 September 2021 dan 29 September 2021 saya telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 anggota Jemaah Menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan,” katanya dalam kenyataan
Ismail berkata, hasil mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Sept lalu, bersetuju agar anggota Jemaah Menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri bermula dari 1 Sept.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama, iaitu menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara.
Seterusnya, meningkatkan kesejahteraan sosial, mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama.
Ia bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.
“Prestasi setiap anggota Jemaah Menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama, iaitu penilaian prestasi kementerian/jabatan, penilaian kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap anggota Jemaah Menteri dan kementerian/jabatan di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.
Setakat ini, sebilangan anggota Kabinet antaranya Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menetapkan sasaran jangka pendek bagi kementerian mereka.