Gabungan peserta industri pengangkutan awam darat mahu tanding 4 Parlimen, 14 DUN pada PRU15

Gabungan peserta industri pengangkutan awam darat mahu tanding 4 Parlimen, 14 DUN pada PRU15

Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM), turut menuntut jawatan Menteri Pengangkutan dari pemain industri.

Industri pengangkutan awam darat menyumbang kepada keberhasilan negara namun kebajikan sebagai pemain industri tidak pernah diberi pembelaan sewajarnya, kata Yang Dipertua GTSM Kamarudin Hussain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Peserta industri pengangkutan awam darat bercadang untuk meletakkan calon di empat kawasan Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Wakil gabungan, Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, tindakan itu bagi menghentikan kebergantungan pemain industri kepada individu politik, yang selama ini dakwanya tidak berjaya menyelesaikan masalah kebajikan mereka.

Katanya, bagi menjayakan hasrat itu, gabungan berkenaan akan menghantar memorandum tuntutan kepada semua parti politik, sekiranya mana-mana parti sudi bekerjasama dan memberikan kerusi kepada mereka pada PRU akan datang.

“Sudah tiba masa kami bersatu hati dan kami telah berbincang dan ingin menghentikan kebergantungan kepada orang politik dengan meletakkan calon kami bertanding di empat Parlimen dan 14 DUN termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Pada 2 Februari tahun depan, kami akan adakan satu perhimpunan yang melibatkan semua pemain industri pengangkutan awam darat untuk serahkan memorandum dan tuntutan kami kepada semua presiden parti untuk dipertimbangkan,” katanya pada sidang media.

Kamarudin berkata, gabungan itu akan memberi tempoh satu bulan kepada parti politik untuk menerima tuntutan berkenaan atau mengabaikannya.

“Kami terpaksa ambil keputusan bertanding demi memperjuangkan nasib kami. Di situ bukan kami sahaja, tapi semua rakyat Malaysia boleh melihat pihak mana benar-benar ikhlas untuk selesaikan masalah rakyat khususnya masalah kami,” katanya.

Katanya, cadangan bertanding dalam PRU akan datang juga dibuat bagi membolehkan jawatan Menteri Pengangkutan diisi dalam kalangan pemain industri sendiri.

“Sudah tiba masanya kita bertanding dan duduk di MoT (Kementerian Pengangkutan). Biar orang dari industri duduk di jawatan itu dan selesaikan masalah industri. Menteri yang ada tidak tahu macam mana payahnya pemandu-pemandu perkhidmatan awam ketika ini… dia tak pernah rasa.

Beliau juga mendakwa, kebanyakan peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan di bawah kementerian itu tidak melibatkan pihak persatuan.

“Banyak peraturan dan undang-undang tidak membuat sebarang kaji selidik atau jalinan kerjasama dengan pihak persatuan.

“Mereka buat keputusan sesuka hati mereka dan akhirnya yang jadi mangsa adalah kami. Kita tidak mahu orang politik terus perjudikan nasib kami,” katanya yang mendedahkan sebanyak 15 surat dihantar kepada Menteri Pengangkutan ketika era pentadbiran Perikatan Nasional.

Antara masalah yang diutarakan adalah kebajikan anak muda yang semakin ramai terkorban di atas jalan raya ketika bekerja sebagai penghantar makanan (p-panggilan) dan kadar tambang yang dibiarkan didagang secara tidak relevan oleh syarikat e-panggilan, yang menindas pemandu dan penunggang industri itu.

“Industri pengangkutan awam darat menyumbang kepada keberhasilan negara sejak sekian lama namun malangnya kebajikan sebagai pemain industri tidak pernah diberi pembelaan sewajarnya oleh menteri daripada DAP dan MCA,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.