Sindiket edar syabu tumpas, polis rampas dadah bernilai RM2.18 juta

Sindiket edar syabu tumpas, polis rampas dadah bernilai RM2.18 juta

Tiga sekeluarga termasuk bapa berusia 70 tahun antara suspek ditahan dan polis turut merampas lebih 54kg syabu dalam serbuan pada Isnin.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat (dua,kiri) menunjukkan sebahagian sejumlah dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.18 juta selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Bandar Amanjaya dekat sini, Isnin lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas 54.7205kg syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.18 juta, dalam serbuan di Bandar Amanjaya dekat Sungai Petani, Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, empat suspek berusia 30 hingga 70 tahun ditahan, termasuk tiga sekeluarga.

“Pada 8.10 pagi, 27 Sept, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kedah menahan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton di hadapan sebuah rumah di Bandar Amanjaya dan seorang seorang suspek lelaki berusia 30 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 54 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis syabu yang diletakkan di dalam dua guni dan satu plastik hitam. Berat keseluruhannya dianggarkan berjumlah 54.7205 kg,” katanya dipetik Bernama, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut menahan seorang suspek lelaki berusia 41 tahun yang berada dalam sebuah kereta Honda City, bersebelahan dengan Mitsubishi Triton tersebut.

“Pada hari sama, seorang suspek perempuan berusia 36 tahun ditahan pada jam 8.30 pagi di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, manakala suspek keempat berusia 70 tahun, ditahan pada jam 9 pagi di sebuah premis di Pusat Komersial Saujana dekat sini.

“Siasatan juga mendapati, suspek berusia 70 tahun itu adalah bapa kepada dua lagi suspek, iaitu suspek perempuan berusia 36 tahun dan suspek lelaki berusia 30 tahun,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif, namun dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dadah ini dipercayai diperolehi dari negara jiran untuk diedarkan ke pasaran negeri-negeri di kawasan utara, manakala siasatan masih dijalankan mengenai tempoh mereka beroperasi.

“Syabu sebanyak ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan kira-kira 547,000 penagih. Suspek juga dipercayai menjalankan perniagaan makanan sejuk beku dan kita akan siasat sama ada mereka menyalahgunakan perniagaan itu untuk menutup aktiviti pengedaran dadah yang mereka lakukan,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Polis turut menyita sebuah lori, tiga kereta, dua motosikal, wang tunai dan wang dalam akaun bank, yang keseluruhannya berjumlah RM709,087.80,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.