Kes jutaan ringgit ‘hilang’: Peguam Negara terima kertas siasatan 3 pegawai SPRM

Kes jutaan ringgit ‘hilang’: Peguam Negara terima kertas siasatan 3 pegawai SPRM

Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara akan memutuskan sama ada mahu membuat pendakwaan atau memberi arahan untuk siasatan lanjut.

Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Hasanah Abdul Hamid dilaporkan mendakwa sebahagian daripada USD6 juta yang dirampas daripadanya hilang.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara sedang meneliti kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung “kehilangan” sebahagian USD6.94 juta yang dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid pada tahun 2018.

Jabatan itu berkata, kertas siasatan itu diterima Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara pada 28 Sept lalu.

“Bahagian ini akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan sama ada akan membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Nik Suhaimi Nik Sulaiman mengesahkan dengan FMT, siasatan itu juga berkaitan Hasanah dan tiga pegawai SPRM.

Minggu lalu, SPRM dilaporkan menahan tiga pegawainya untuk membantu siasatan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam kes membabitkan “seorang bekas ketua jabatan”.

Tiga pegawai itu direman enam hari dari 14 hingga 19 Sept lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Blog Edisi Siasat sebelum ini mendakwa Hasanah cuba menuntut semula wang tunai lebih USD6 juta (RM25.1 juta) yang disita dari sebuah apartmen di Cyberjaya, selepas dia dilepas tanpa dibebaskan dalam kes pecah amanah terhadapnya April lalu.

Menurut blog itu, Hasanah mendakwa sebahagian wang berkenaan hilang dan digantikan wang palsu. Dia juga dilaporkan membuat laporan mengenai perkara itu.

Tiga suspek itu sebahagian daripada pasukan khas yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan membabitkan Hasanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.