
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pencalonan wakil wanita tidak boleh diberikan bagi memenuhi syarat dan kuota parti semata-mata, sebaliknya perlu memastikan kerusi yang dipertandingkan boleh dimenangi.
“KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) berpandangan usaha meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen merupakan tanggungjawab asas semua parti kerana ia bergantung sepenuhnya kepada jumlah kerusi yang diperuntukkan untuk wanita bertanding sebagai wakil rakyat serta jumlah kemenangan yang diperolehi.
“Selain itu, perlu juga disediakan persekitaran yang menyokong penglibatan wanita secara produktif, bermula daripada memupuk minat melalui latihan dan pendidikan, sehinggalah kepada usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi yang menghalang wanita berkecimpung dalam kepimpinan dan politik,” katanya di Dewan Rakyat.
Zailah menjawab pertanyaan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang meminta KPWKM menyatakan apakah usaha drastik kementerian itu bagi menginstitusikan dan meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen serta perancangan jangka panjang secara sistemik untuk memastikan sasaran minimum 30% dilaksanakan.
Katanya, KPWKM menyokong sebarang bentuk usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kepimpinan termasuklah sebagai pembuat keputusan.
“Dalam hal ini, kerajaan mengumumkan pernyataan dasar untuk mencapai sekurangnya-kurang 30% wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam pada 2004 dan di sektor swasta pada 2011.
“Jumlah perwakilan wanita di Dewan Rakyat adalah 15%, iaitu 33 orang daripada 220, manakala jumlah di Dewan Negara pula adalah 15%, iaitu lapan orang daripada 53 ahli Dewan Negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zailah berkata, KPWKM akan mengadakan perbincangan dengan semua pemimpin parti politik bagi menjayakan usaha mencapai 30% wakil wanita di Parlimen.
“Kita sedang dalam perancangan untuk sampaikan kepada kepimpinan parti politik tentang bagaimana untuk kita mencapai 30% wakil wanita di Parlimen). Sebab isu ini adalah hasrat semua parti politik, bukan satu parti, semua parti menyokong isu ini,” katanya.
Katanya, faktor penyertaan wanita masih lagi tidak mencapai sasaran kerana kurangnya keyakinan masyarakat terhadap golongan berkenaan.
Malah jelasnya, faktor “winnable candidate” turut dilihat antara punca penyertaan wanita masih lagi gagal mencapai sasaran.
“Sebenarnya yang dicalonkan (dalam pilihan raya) ramai, tetapi yang menang tidak ramai. Jadi di sinilah satu cabaran kepada wanita. Seharusnya kita dapat melihat kembali kebaikan yang perlu ditambah baik supaya penglibatan kita sehingga ke peringkat akar umbi.
“Sebenarnya wanita mampu dengan sokongan semua pihak sebab apa yang saya tengok ada YB wanita yang setengahnya lebih baik daripada YB lelaki. Bukan menafikan lelaki ya, tetapi maknanya mereka lebih komited, lebih fokus. Sebenarnya mereka lebih berketrampilan, kemampuan, kerja mereka lebih tekun, bukan mereka tidak mampu,” katanya.