Tiada cadangan naikkan penalti RM50,000 Akta 446, kata Saravanan

Tiada cadangan naikkan penalti RM50,000 Akta 446, kata Saravanan

Menteri Sumber Manusia berkata, ia memandangkan negara berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja ketika ini.

Negara benar-benar berdepan krisis dan kekurangan tenaga kerja, menurut M Saravanan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak bercadang meningkatkan jumlah penalti RM50,000 terhadap majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, ia memandangkan negara berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja ketika ini dan langkah menaikkan jumlah terbabit boleh memberi kesan ke atas ekonomi negara.

“Buat masa ini, kita kenakan denda sebanyak RM50,000 apabila mana-mana syarikat tidak mematuhi akta terbabit dan ini adalah untuk setiap pekerja. Pendekatan ini (menaikkan penalti) bukan satu pendekatan yang baik memandangkan negara menghadapi krisis ekonomi dan banyak syarikat mengalami masalah, bukan sahaja kegawatan ekonomi malah ditambah pula dengan masalah kekurangan tenaga kerja.

“Jika dilihat ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, jumlah pekerja asing yang mencarum dengan PERKESO adalah sebanyak 1.8 juta dan dalam tempoh setahun, ia menurun kepada 1.1 juta. Ini menunjukkan negara benar-benar berdepan krisis dan kekurangan tenaga kerja,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat) yang meminta kerajaan menjelaskan adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan jumlah penalti terhadap majikan yang gagal mematuhi akta 446.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.