
Beliau berkata, ketika ini hanya 15.83% penyelidik berada dalam sektor industri, manakala 79.2% penyelidik berada di institusi pengajian tinggi.
Jelasnya, Malaysia berada jauh di belakang berbanding negara yang berpaksikan inovasi dengan merekodkan lebih 40% penyelidik dalam sektor industri.
Justeru katanya, bagi mengatasi jurang berkenaan MOSTI sedang mengkaji mekanisme bersesuaian untuk mempertingkatkan peratusan penyelidik di sektor industri termasuk melaksanakan “Researcher Industry Scientific Exchange (RISE)” yang membolehkan penempatan penyelidik di industri bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi meningkatkan produktiviti.
“Jika kita ingin melihat impak perubahan, kita harus melihat gambaran yang lebih besar, mencipta visi dan mentransformasi idea menjadi tindakan.
“Besar harapan saya agar saintis terulung di negara ini dapat membantu negara dengan lebih proaktif dalam usaha mencapai hasrat Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya ketika berucap secara maya dalam majlis Pengumuman Penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2021.
Sebanyak 22 saintis diumumkan sebagai penerima anugerah berkenaan tahun ini, dengan majoriti daripada bidang penyelidikan data analitik, teknologi hijau dan nanoteknologi.
Adham berkata, bagi merancakkan lagi bidang inovasi dan penyelidikan, MOSTI menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030), memperuntukkan sekurang-kurangnya 50% dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk aktiviti penyelidikan pra-pengkomersialan.
“Ketika ini, Malaysia hanya membelanjakan 24.5% untuk aktiviti melibatkan prototaip, perintis dan peningkatan produk dan kekurangan pelaburan dalam aktiviti penyelidikan eksperimental pra-pengkomersialan.
“Di negara-negara lain yang berinovasi tinggi, mereka membelanjakan lebih daripada 50% untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah,” jelasnya.