Kerjasama saintis, pakar luar, tingkat imej minyak sawit negara, kata Fadillah

Kerjasama saintis, pakar luar, tingkat imej minyak sawit negara, kata Fadillah

Katanya ini dijangka dapat memberi keseimbangan kepada persepsi negatif yang dikaitkan dengan minyak sawit, sekali gus membantu memberi pandangan yang tidak bersifat berat sebelah.

Kementerian Perladangan dan Komoditi juga akan melipatgandakan usaha mempromosi kempen minyak sawit dalam pelbagai bahasa di media sosial, kata Fadillah Yusof. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Malaysia sedang dalam perancangan bekerjasama dengan saintis dan pakar dari luar negara untuk membantu meningkatkan imej minyak sawit negara dan kebaikannya di peringkat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata langkah berkenaan dijangka turut dapat memberi keseimbangan secara semula jadi kepada persepsi negatif yang dikaitkan dengan minyak sawit, sekali gus membantu memberi pandangan yang tidak bersifat berat sebelah, menurut laporan Bernama.

“Memang benar kandungan vitamin E dan antioksidan dalam minyak sawit adalah satu perkara yang kita patut sebar luaskan. Sebab itu saya katakan tadi salah satunya kita perlu bekerjasama dengan pihak saintis dari luar negara untuk mengesahkan dan membantu kita dalam pemasaran ini.

“Kalau kita bergantung dalam negara sahaja, mungkin persepsi yang negatif itu perlu kita imbangi. Sebab itu kita perlu cari orang yang neutral untuk mengesahkan dan memasarkan produk kita ini,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata hakikatnya program pemasaran berhubung kelebihan sawit Malaysia diperluaskan kepada negara baharu yang belum pernah diteroka.

“Sebab itu misalnya kita lihat pasaran baharu seperti Arab Saudi adalah satu pasaran baharu yang telah kita lihat peningkatan dari segi eksport minyak sawit kita ke sana. Banyak juga (negara-negara) dari benua Afrika di samping Mesir dan Turki yang kita lihat pasarannya meningkat,” katanya.

Fadillah berkata KPK juga akan melipatgandakan usaha mempromosi kempen minyak sawit dalam pelbagai bahasa di media sosial.

“Mungkin kita boleh tambah apa yang kita sedang usahakan adalah mencari saintis dan pakar dari luar negara untuk berbicara supaya perbicaraan dan tulisan mereka dan apa sahaja yang mereka ulas boleh dirakam dan disebarkan sama ada secara terbitan elektronik atau media sosial,” katanya.

Menurutnya Malaysia turut berurusan dengan pelobi dan konsultan di luar negara seperti Eropah dan Amerika Syarikat secara berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.