807 kemalangan pandu lawan arus, 29 libat kematian, kata menteri

807 kemalangan pandu lawan arus, 29 libat kematian, kata menteri

Wee Ka Siong berkata kajian daripada statistik sejak Januari hingga September 2021 mendapati bahawa faktor manusia adalah merupakan penyumbang utama.

Kebelakangan ini kerap dilaporkan berlakunya kes kemalangan membabitkan pemanduan lawan arus, kata Wee Ka Siong.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 807 kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan melawan arus sejak Januari sehingga September 2021, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Katanya, daripada jumlah itu, berdasarkan statistik data Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia melibatkan 29 kes kemalangan maut, parah (17), cedera ringan (49) dan kerosakan (712).

Beliau berkata, kajian mendapati bahawa faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah serta tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab, iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu itu.

“Dalam kes berkaitan memandu lawan arus ini, kebelakangan ini kerap dilaporkan berlakunya kes sedemikian yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini amat membimbangkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan menyatakan data dan statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus dari Januari 2021 sehingga kini serta faktor penyumbangnya.

Mengulas lanjut Wee berkata, Kementerian Pengangkutan telah menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai 23 Oktober tahun lalu termasuk pindaan ke atas hukuman sedia ada termasuk meningkatkan kadar denda serta tempoh penjara khususnya berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan juga dadah.

“Pindaan hukuman ini merupakan satu bentuk ‘deterrence’ dan memupuk kesedaran dalam kalangan ramai supaya mereka mematuhi undang-undang, dan apabila ia dilaksanakan, jalan raya di negara kita ini akan kekal selamat. Selain itu, nilai ambang melibatkan had kepekatan alkohol di dalam darah yang dibenarkan juga telah dipinda.

“MOT bersama JPJ dan MIROS juga secara berterusan meneliti dan menilai semula aspek pembelajaran dan pengujian bagi mendapatkan lesen memandu ke arah memastikan kompetensi pemandu yang bakal dilahirkan berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Katanya, kementerian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan juga telah memperkenalkan program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi menanam sikap dan asas pemanduan berhemah serta pematuhan peraturan jalan raya bermula di peringkat prasekolah sehingga ke sekolah menengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.