
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpandangan MCA kini hanya menguasai dua kerusi Parlimen, sekali gus meletakkan parti itu dalam keadaan genting susulan persetujuan tidak rasmi antara Pakatan Harapan-BN yang mengekalkan kerusi kepada parti yang menang pada pilihan raya lalu.
“Kalau BN masih bekerjasama dengan DAP, maknanya dia (MCA) tidak mempunyai ruang untuk bertanding di tempat lain,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting ini kepada FMT.
Zaharuddin menarik perhatian kepada situasi Upko menuju PRN Sabah baru-baru ini, yang tidak akan dapat kerusi yang dikehendaki sekiranya kekal bersama Pakatan Harapan.
“Jadi MIC dan MCA bermain dengan kaedah yang sama, mengugut BN kerana mahukan kerusi. Mereka mahu bertanding banyak kerusi — banyak suara maka akan kuat,” katanya.
Zaharuddin mengulas resolusi yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA semalam, iaitu menolak kerjasama dengan DAP pada PRU16 atas alasan ideologi berbeza.
Presiden Wee Ka Siong berkata MCA akan menentukan hala tuju sendiri jika mana-mana parti komponen BN bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya itu.
Ketetapan itu mengundang reaksi sinis Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi yang mencabar MCA menentukan kedudukannya dalam BN, tanpa perlu menunggu Umno menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan PH menjelang PRU16.
Puad berkata Umno berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH, selain mendakwa MCA sekadar mencari alasan untuk meninggalkan BN.
Zaharuddin berkata ‘strategi ugutan’ akan membawa risiko besar kepada MCA kerana parti itu dan DAP berkongsi segmen pengundi yang sama.
“Tindakan MCA ni macam ‘kamikaze’. Kalau tidak berjaya MCA akan lupus dalam politik Malaysia kerana ketika ini konsep parti berteraskan kaum ini macam tidak mendapat sambutan,” katanya.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata ‘ugutan’ MCA tidak terlalu kuat memandangkan parti itu tidak mempunyai kekuatan politik untuk memberi tekanan sebenar kepada mana-mana parti.
“Kalau MCA mahu kekal tegas, itu baik untuk menunjukkan pendirian parti tetapi dari sudut politik, ia sukar kerana landskap politik Malaysia sekarang memerlukan fleksibiliti,” katanya, dan menambah fleksibiliti boleh menyebabkan sesebuah parti dilihat tidak berpendirian.
Syaza melihat perkembangan semasa sebagai petanda Malaysia sedang bergerak ke arah model politik di mana parti bertanding secara individu, dan membentuk kerjasama selepas keputusan pilihan raya.
“Ini mungkin menunjukkan kita sedang menuju ke satu fasa di mana parti-parti bertanding secara sendirian dan hanya membentuk kerjasama dengan parti yang menang selepas pilihan raya, seperti yang berlaku di banyak negara Eropah,” katanya.