‘Sorok’ dadah dalam perut, Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati lelaki Nigeria

‘Sorok’ dadah dalam perut, Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati lelaki Nigeria

Sebanyak 99 kapsul metamfetamina seberat 1,085g ditemui selepas tertuduh membuang air besar dalam kejadian sembilan tahun lepas.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Nov 2017 ke atas Ikenna Emmanuel Chukwudulu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas seorang warga Nigeria yang dihukum gantung selepas didapati bersalah mengedar dadah dengan cara menyembunyikan 99 kapsul metamfetamina di dalam perutnya sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, setelah menimbangkan bukti secara keseluruhan, mahkamah sebulat suara yakin bahawa sabitan mengedar dadah terhadap Ikenna Emmanuel Chukwudulu adalah tepat.

Justeru, beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan menolak rayuan Chukwudulu terhadap sabitan serta hukuman mati itu.

Chukwudulu, 44, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Nov 2017 setelah didapati bersalah mengedar 1,085g metamfetamina di tandas Wad 6C Hospital Serdang antara 9.30 pagi 15 Jun 2012 dan 10. 55 pagi 16 Jun 2012.

Warga Nigeria itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Jan 2019.

Mengikut fakta kes, polis menahan Chukwudulu di kawasan menuntut bagasi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 14 Jun 2012 dan pemeriksaan badan serta beg yang dilakukan ke atasnya tidak menemui apa-apa.

Chukwudulu kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk menjalani pemeriksaan sinar-X yang mengesahkan bahawa terdapat “benda asing” di dalam badannya.

Selepas membuang air besar, sebanyak 99 kapsul mengandungi dadah diperoleh daripada Chukwudulu, yang merupakan peniaga pakaian wanita dan hiasan rambut.

Chukwudulu diwakili peguam Sukhaimi Mashud manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.