Perak takkan terburu-buru buka semula Pangkor

Perak takkan terburu-buru buka semula Pangkor

Menteri Besar Perak berkata, penanda aras utama sebelum pembukaan semula Pulau Pangkor adalah kesan gelembung pelancongan di Langkawi yang dibuka sejak 16 Sept lepas.

Saarani Mohamad berkata, banyak aspek perlu diambil kira, termasuk situasi nelayan, penduduk setempat dan peniaga bagi mengelakkan jangkitan baharu dan Pangkor serta seluruh Perak dikenakan PKPD. (Gambar Bernama)
LUMUT:
Kerajaan Perak tidak akan terburu-buru dan masih meneliti pelbagai kemungkinan secara menyeluruh, sebelum membuat keputusan membuka semula Pulau Pangkor kepada masyarakat umum, khususnya pelancong.

Menteri Besarnya, Saarani Mohamad berkata, penanda aras utama sebelum pembukaan semula pulau itu berdasarkan kesan gelembung pelancongan yang dilaksanakan di Langkawi sejak 16 Sept lepas.

“Di Pangkor, kita perlu ambil kira (situasi) nelayan, penduduk setempat dan peniaga juga. Kita tidak mahu ada jangkitan baharu yang menyebabkan bukan sahaja Pangkor, tetapi seluruh negeri dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan. Ini sesuatu yang malang.

“Jadi, kita perlu lihat dahulu program gelembung pelancongan di Langkawi. Ia perlu masa selama dua minggu untuk melihat kesannya sejak dibuka 16 Sept lepas. Kalau tiada masalah, maka sudah tentu kita akan membenarkan Pulau Pangkor kembali dibuka,” katanya selepas melawat kawasan terjejas akibat ribut di sekitar Manjung.

Pada 12 Sept lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Pangkor dijangka dibuka kepada pengunjung yang lengkap divaksin pada 1 Nov ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pembukaan semula pulau itu masih tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara.

Saarani berkata, pemantauan secara rapi oleh pihak berwajib perlu dilaksanakan di semua terminal atau jeti yang menjadi laluan keluar masuk pengunjung ke Pulau Pangkor.

“Kita jangan lupa, hendak masuk ke Pulau Pangkor tiada kemudahan kapal terbang seperti di Langkawi. Di sini, kita hanya ada feri dan bot.

“Ini bermakna semua pengunjung perlu menunggu di jeti. Di situ orang akan berkumpul dan mungkin jadi sesak. Kalau tidak ditangani dengan betul, kesan (jangkitan) itu akan ada.”

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka semula semua destinasi pelancongan di Perak, jika pembukaan Pulau Pangkor tidak mendatangkan sebarang masalah membabitkan penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.