
Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap berkata, setakat ini siasatan rasmi belum dimulakan, namun pihaknya sudah meneliti dokumen berkaitan.
“Siasatan rasmi belum dibuat setakat ini. Kami akan mulakan siasatan jika ada unsur kesalahan di bawah Akta SPRM atau undang-undang berkaitan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Selasa lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat rekod membuktikan pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta dimasukkan ke akaun bank berpangkalan di Kanada.
Sanusi mendakwa transaksi itu berlaku ketika Kedah diterajui bekas Menteri Besar, Mukhriz Mahathir.
Beliau turut mendakwa masih menyimpan slip penyata bank berkaitan perkara itu.
Bagaimanapun, Sanusi tidak mendedahkan pemilik akaun tersebut dan tujuan transaksi wang itu.
Khamis lalu, Shaharom Nizam memaklumkan pihaknya sudah menemui Sanusi bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan melakukan penelitian awal berhubung perkara itu.