
Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan tidak sepatutnya mengetepikan tinjauan berkenaan, yang mendapati bahawa 44% daripada 1,056 responden wanita pernah mendengar guru-guru membuat jenaka bersifat seksis.
Wang baru-baru ini berkata, tinjauan itu adalah satu kajian yang “sangat tidak saintifik”.
Kasthuri mengakui bahawa kajian itu sepatutnya membabitkan kumpulan responden yang lebih besar, tetapi beliau menegaskan, tindakan perlu diambil, walaupun hanya ada satu kes gangguan seksual.
Katanya, kajian itu bukan bertujuan untuk mencemarkan nama baik guru-guru.
“Guru-guru di Malaysia adalah antara kumpulan individu yang paling rajin, berdedikasi dan bersemangat yang bermatlamat untuk memupuk anak-anak kita dengan kebijaksanaan, kemahiran dan pengetahuan,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa NUTP untuk menerima hakikat bahawa ada guru yang tidak terkawal, “walaupun hanya sebilangan kecil”, dan mengambil tindakan ke atas “mereka yang membawa nama buruk” kepada profesion perguruan.
Beliau menyebut beberapa laporan berita tentang perbuatan secara terang-terangan oleh segelintir guru, termasuk kenyataan bersifat rasis, “pemeriksaan haid mengejut”, komen-komen lucah dan penderaan fizikal.
Centre for Governance and Political Studies dan All Women’s Action Society membuat tinjauan ke atas 1,056 wanita di seluruh negara sama ada mereka pernah mengalami gangguan seksual dalam kehidupan seharian.
Tinjauan berkenaan mendapati responden, berusia 18 hingga 30 tahun, selalu mengalami gangguan seksual, dengan 44% berkata, mereka pernah menyaksikan guru membuat jenaka lucah.
Namun, Wang berkata, tinjauan itu “tidak adil dan tidak bertanggungjawab” dan hasilnya akan berbeza jika ia membabitkan lebih ramai responden.
Timbalan Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation Yu Ren Chung berkata, tinjauan berkenaan bukannya mendapati kebanyakan guru mengeluarkan komen bersifat seksis, namun ramai wanita pernah mendengarnya.
“Walaupun seorang guru di sekolah selalu membuat jenaka seksis, bayangkanlah ramai pelajar akan terdedah kepadanya,” kata Yu kepada FMT.
Beliau berkata, tinjauan itu hanyalah tambahan terbaru kepada sejumlah besar bukti yang menunjukkan bahawa gangguan seksual dan keganasan berdasarkan jantina adalah antara isu utama di Malaysia.
Tambahnya, saiz sampel lebih 1,000 responden secara umum diterima untuk kajian seperti itu dan beliau menyeru agar undang-undang antigangguan seksual yang kukuh digubal.
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, ia dengan dekat mengikuti gerakan #MakeSchoolASaferPlace, yang dicetuskan oleh pelajar berusia 17 tahun, Ain Husniza Saiful Nizam pada April.
Menurut Presiden PAGE Noor Azimah Abdul Rahim, terdapat kira-kira 520 dakwaan mengenai pengalaman serupa yang pernah dialami sebelum ini, dan mungkin terdapat ratusan lagi yang belum didedahkan kepada umum.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk mewujudkan saluran aduan bagi pelajar.
“Mangsa terus mengalami trauma sehingga dewasa dan, lebih buruk lagi, ada yang menerima rawatan perubatan,” katanya kepada FMT.
“Jadi walaupun jumlahnya sedikit, insiden seperti itu terjadi dan terus terjadi kerana tidak dilaporkan.”