
Khairy berkata, ahli farmasi akan dapat mendidik masyarakat mengenai kaedah penggunaan, penyimpanan dan pelupusan kit-kit berkenaan, serta mengambil tindakan susulan dan menyediakan kaunseling setelah keputusan diperolehi.
“(Mereka juga) dapat memberi nasihat mengenai perbezaan antara jenama kit ujian,” katanya dalam ucapan pada persidangan “Reinventing the Pharmacy Biz” untuk memperingati Hari Farmasi Sedunia hari ini.
Bercakap mengenai peranan ahli farmasi, beliau meminta kerjasama yang lebih besar dalam bidang-bidang seperti perubatan pencegahan dan pendidikan masyarakat, bukan hanya mengenai penyakit tetapi juga kesihatan.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengalu-alukan penglibatan Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) untuk membantu menaiktaraf sistem penjagaan kesihatan.
Katanya lagi, kini sangat penting untuk menyesuaikan diri dan melihat di luar krisis Covid-19 ke dalam semua aspek penjagaan kesihatan yang lain.
Salah satu indeks prestasi utama 100 hari Khairy adalah memberi tumpuan kepada mempersiapkan rakyat Malaysia untuk fasa endemik, dan “bahagian pentingnya adalah melibatkan para pemegang taruh dan bekerjasama dengan ahli farmasi komuniti”.
Menyifatkan mereka sebagai “pengawal” bagi sistem kesihatan negara, Khairy berkata, apabila barisan hadapan kesihatan terbeban, pihak seterusnya yang memikul tanggungjawab adalah ahli farmasi komuniti.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang sebelum ini berkata, kit ujian kendiri bukan mainan tetapi alat perubatan yang mesti mematuhi piawaian emas dari segi fungsi dan keselamatan.
“Penting untuk kit ujian kendiri Covid-19 dijual di farmasi berlesen dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta supaya kerajaan dapat memantaunya dengan ketat dan sebarang aduan mengenai kit-kit ini boleh dibuat dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bawah KKM,” katanya.