Tular video, mesej lucah ganggu siasatan kes Ebit Lew, kata polis

Tular video, mesej lucah ganggu siasatan kes Ebit Lew, kata polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata polis sudah membuka kertas siasatan sebelum ini ke atas pendakwah dan dermawan selebriti itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan menggesa individu yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan gangguan seksual membabitkan Ebit Lew supaya memaklumkannya kepada polis, bukan menyebarkannya di media sosial.
GOMBAK:
Video dan pesanan teks tidak senonoh yang tular di aplikasi Telegram didakwa membabitkan pendakwah popular Ebit Lew mengganggu siasatan yang sedang dijalankan, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, polis sudah membuka kertas siasatan sebelum ini untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual yang dibuat terhadap pendakwah dan dermawan selebriti itu.

“Ini menunjukkan ada gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan polis atas kes tersebut,” katanya merujuk kepada penularan video dan pesanan teks berkenaan di media sosial.

Sehubungan itu, Jalil menggesa individu yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah itu memaklumkan polis, bukan menyebarkannya di media sosial.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil terus ke Bukit Aman bagi membantu (polis) melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengenai pesanan teks dan video terbaru yang dimuat naik di Telegram itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ebit sebelum ini berkata, dakwaan ke atasnya bersifat fitnah dan kejam, dan beliau menyerahkannya kepada polis untuk melakukan siasatan.

Jalil menasihatkan orang ramai berhati-hati di media sosial dan tidak menggunakan platform itu untuk menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat atau mengancam keharmonian negara.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan polis menumpaskan kumpulan penjenayah bersenjata dikenali sebagai “Geng Amir@Kecik” yang merompak beberapa kedai barang kemas di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Mei tahun ini.

Katanya, polis menjalankan 13 serbuan di Lembah Klang dalam Op Dulang mulai 13 hingga 20 September.

Seramai 23 suspek  termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan itu, namun dua lagi ahli geng yang menggunakan parang dan kapak itu masih bebas.

Siasatan mendapati geng berkenaan mencuri barang kemas yang dianggarkan bernilai RM879,000.

Polis setakat ini menemui barang kemas bernilai RM393,348 yang dipercayai dicuri dari empat kedai di Setapak, Seri Kembangan, Kepong dan Gombak.

Turut dirampas sebilah parang, tiga motosikal, tiga helmet dan 15 telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.