
Peguamnya Akberdin Abdul Kader berkata, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu juga telah memfailkan permohonan baharu untuk menangguhkan perbicaraannya, yang dijadualkan bersambung pada 4 Oktober, sehingga keputusan diperoleh di Mahkamah Rayuan.
“Kami telah memfailkan sijil perakuan segera untuk permohonan itu didengar secepat mungkin,” katanya kepada FMT.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan, pelantikan Sri Ram di bawah Kanun Prosedur Jenayah oleh Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas, pada Ogos 2018 adalah sah.
Beliau turut menerima hujahan alternatif oleh pendakwaan bahawa surat pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara semasa, Idris Harun, yang dikeluarkan pada 21 Mei tahun ini, dapat memperbaiki sebarang kecacatan dalam tindakan Thomas.
Katanya, ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 memberi kuasa kepada mana-mana pihak untuk membuat pelantikan secara retrospektif.
Beliau turut menolak permohonan penangguhan prosiding sementara kes itu diselesaikan di Mahkamah Rayuan.
Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta daripada kontraktor Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar sekolah di Sarawak, selain menerima RM6.5 juta daripadanya.
Wang itu didakwa bertujuan membantu syarikat Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion tersebut.