Polis mahu ujian ‘layak memandu’ bagi 60 tahun ke atas

Polis mahu ujian ‘layak memandu’ bagi 60 tahun ke atas

Mereka berkata warga emas perlu dinilai kerana risiko yang dibawa mereka kepada diri dan pengguna jalan raya lain.

Polis mencadangkan kerajaan memperkenalkan ujian kemampuan atau kognitif kepada pemandu warga emas.
KUALA LUMPUR:
Polis meminta kerajaan memperkenalkan sistem penilaian untuk menilai kemampuan warga emas, sebelum mereka dibenarkan memperbaharui lesen memandu atau menunggang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias, berkata cadangan kepada Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan itu berdasarkan jumlah kes membabitkan warga emas yang ditahan memandu melawan arus dan melakukan kesalahan lain, seperti di lampu isyarat serta persimpangan jalan.

“Kita perlu menilai kemampuan warga emas di jalan raya kerana risiko yang dibawa mereka kepada diri dan pengguna jalan raya lain,” kata Azisman dalam sidang media hari ini.

“Terdapat beberapa kes membabitkan pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Kami juga melihat peningkatan kes memandu melawan arus membabitkan warga emas berusia 60 hingga 70 tahun dan ke atas.

Azisman Alias .

“Apabila polis menahan mereka, ada di antara mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas menghidap dementia atau nyanyuk. Ada di kalangan mereka yang turut didapati tidak menyedari keadaan trafik tertentu.”

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik persekutuan, 804 kematian jalan raya dicatatkan tahun lalu atau 17% daripada jumlah keseluruhan membabitkan pemandu atau penunggang motosikal berusia 61 tahun ke atas.

Beliau mencadangkan kumpulan perubatan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya menjalankan kajian berhubung kemungkinan memperkenalkan ujian kemampuan atau kognitif untuk pemandu warga emas.

“Mereka (warga emas) hanya patut dibenarkan memperbaharui lesen mereka, dengan syarat menjalani pemeriksaan perubatan dan mendapat pengesahan doktor yang mereka layak memandu, dari segi mental dan fizikal.”

Beliau memetik negara maju seperti UK, Kanada, Singapura dan Australia, yang sudah memperkenalkan ujian sama.

Di Singapura, pemandu berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun.

Azisman, yang akan bersara minggu depan, berkata tempoh sah lesen memandu untuk warga emas juga perlu dihadkan kepada tempoh tertentu berbanding amalan semasa.

“Hari ini, individu dengan rekod bersih boleh memperbaharui lesen mereka sehingga lima tahun. Jika ini dibenarkan untuk warga emas, ia bermakna mereka boleh memandu tanpa sebarang ujian untuk menilai kemampuan mereka.

“Lesen senjata api, sebagai contoh, hanya dikeluarkan untuk setahun selepas memenuhi syarat tertentu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.