Tangguh dulu hasrat bercuti ke Melaka, kami belum buka sempadan, kata KM

Tangguh dulu hasrat bercuti ke Melaka, kami belum buka sempadan, kata KM

Sulaiman Md Ali berkata, beberapa aspek antaranya kadar vaksinasi mencapai 90%, dan SOP masih perlu diteliti sebelum membenarkan kemasukan semula pelancong.

Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri tidak membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan, meskipun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengumumkan gelembung pelancongan di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Orang ramai yang berhasrat mengunjungi Melaka selepas kerajaan mengumumkan negeri itu antara tiga lokasi gelembung pelancongan bermula 1 Okt diharap dapat menangguhkan perancangan mereka sehingga kadar vaksinasi negara mencapai 90%.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri tidak membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan, meskipun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengumumkan gelembung pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, meskipun imunisasi kelompok sudah mencapai 90% kelak, beberapa aspek antaranya prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteliti sebelum membenarkan kemasukan semula pelancong.

“Berhubung dengan gelembung pelancongan saya dah maklumkan, ia bukan 1 Okt. Ia sehingga vaksinasi sepenuhnya 90% di seluruh negara. Baru ia akan dibenarkan, itu pun mengambil sedikit masa.

“Apapun berlaku apabila mencapai 90%, kita mengambil pendirian juga untuk meneliti semua aspek SOP terlebih dahulu sebelum kita bertindak membenarkan kedatangan pelancong ke negeri yang bersejarah ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan beserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu adalah ketetapan lain seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Selasa lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri mengumumkan pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan menerusi projek rintis gelembung pelancongan bermula 1 Okt ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.