Lebih RM100 juta belanja bantuan bakul makanan sejak tahun lepas

Lebih RM100 juta belanja bantuan bakul makanan sejak tahun lepas

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata 1.1 juta keluarga atau ketua isi rumah menerima bantuan bakul makanan.

Zailah berkata, program pemberian bekalan barangan keperluan asas diagihkan dan disampaikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
KUALA LUMPUR:
Kerajaan membelanjakan sebanyak RM106.8 juta bagi program bantuan bakul makanan sejak Mac 2020 hingga Julai 2021, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, bantuan bakul makanan itu memanfaatkan 1.1 juta keluarga atau ketua isi rumah.

“Sebanyak RM34.6 juta menggunakan tabung NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), manakala RM72.2 juta menggunakan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Ini merupakan satu inisiatif keprihatinan kerajaan untuk memastikan rakyat terjejas yang memerlukan bantuan sepanjang pandemik Covid-19 dibantu dan untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang memintanya menyatakan jumlah perbelanjaan langsung kerajaan bagi program bantuan bakul makanan bagi tahun 2020 dan 2021.

Zailah berkata, program pemberian bekalan barangan keperluan asas diagihkan dan disampaikan melalui JKM.

Katanya, permohonan dibuat melalui pelbagai mekanisme termasuk melalui Talian Kasih, bilik gerakan, media rasmi kementerian dan agensinya.

“Nilai bakul makanan diagihkan pada Fasa 1, iaitu pada Mac 2020 adalah bernilai RM50 manakala bagi fasa-fasa yang seterusnya adalah bernilai RM100 diedarkan oleh JKM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.