
Wan Junaidi memberitahu Dewan Rakyat, malam ini, SPRM sudah melengkapkan fail kes berhubung kehilangan barang kes itu, sekaligus memudahkan agensi berkenaan melakukan siasatan lanjut.
Katanya, sekiranya polis menyiasat berhubung kes terbabit, mereka terpaksa mengkaji semula semua maklumat yang diperoleh daripada SPRM.
“Ini bermakna agensi penguatkuasaan itu berada pada kedudukan terbaik untuk menyiasat secara terperinci kerana semua maklumat itu ada pada SPRM. Ini yang membolehkan mereka segera menahan dan mereman tiga pegawai berkenaan,” katanya ketika penggulungan Titah Diraja.
Beliau berkata, laporan polis juga sudah dibuat berhubung kes itu dan mereka juga melakukan siasatan.
Bagaimanapun, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mengulangi bahawa kes kecurian bukan di bawah bidang kuasa SPRM, seperti juga pembunuhan dan kes berkaitan pemalsuan.
“Jadi, soalannya mengapa kes ini perlu berada di bawah SPRM? Rungutannya adalah siasatan yang dijalankan SPRM tertangguh berikutan campur tangan pegawai atasan,” katanya.
Wan Junaidi turut menolak gesaan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu bercuti sementara agensi itu menamatkan siasatan dengan menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pihak mengambil cuti sementara.
Bagaimanapun, katanya beliau akan membangkitkan perkara itu termasuk kebimbangan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri demi menjamin kerajaan bertindak seadilnya.
Dalam pada itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mempersoalkan mengapa SPRM tidak membuat sebarang laporan polis terlebih dulu sejurus menyedari kehilangan barang kes berkenaan, termasuk timbulnya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, kegagalan melakukan laporan kepada polis berhubung kehilangan barang kes melanggar perintah tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Apa yang kerajaan buat untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Malaysia bahawa insiden ini kes terpencil? Atau adakah lebih banyak insiden seperti ini berlaku yang kita semua tidak tahu?” soalnya.
Wan Junaidi tidak menjawab kenyataan Ahli Parlimen PKR itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi mempertahankan SPRM tertakluk kepada undang-undang, sambil menyatakan mekanisme semak dan imbang kekal berfungsi dalam agensi berkenan menerusi tiga badan pemantau bebas.
“Semua pihak perlu bersabar dan yakin terhadap siasatan SPRM, bagi kertas siasatan disediakan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan keputusan selanjutnya supaya pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Polis akan memanggil tiga pegawai SPRM terbabit yang direman termasuk bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid, pemilik barang kes yang hilang itu.