Guru, ibu bapa sokong TVET di sekolah menengah

Guru, ibu bapa sokong TVET di sekolah menengah

Presiden STU Adam Prakash Abdullah berkata, kelayakan dalam pengetahuan teknikal akan menjadi kelebihan tambahan bagi pelajar.

Calon dengan kemahiran dan latihan vokasional yang diperakui dapat dengan mudah mencari pekerjaan dalam pelbagai sektor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kesatuan guru dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) menyokong gesaan agar Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) disediakan di peringkat sekolah menengah.

Mengulas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata, selain kelayakan akademik, pengetahuan teknikal akan menjadi kelebihan tambahan bagi pelajar.

“Setiap tahun, kita menghasilkan pelajar dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Namun, bukan semua pelajar ini mendapat tempat di universiti dan kolej,” katanya kepada FMT.

“Jika TVET dijadikan pilihan tambahan, ramai pelajar dapat melanjutkan latihan mereka dalam pembangunan kemahiran. Mereka kemudian dapat memenuhi permintaan tinggi untuk pekerja mahir di negara ini.

“Banyak peluang pekerjaan ini kini diambil pekerja asing.”

Dalam wawancara dengan FMT baru-baru ini, Ferlito berkata, pembaharuan perlu dibuat dalam pendidikan menengah supaya lulusannya dapat memasuki pasaran pekerjaan tanpa pendidikan tinggi.

Adam berkata, banyak pekerjaan memerlukan latihan melalui program TVET dan kursus-kursusnya direka bentuk khusus untuk mempersiapkan pelajar bagi mendapatkan pekerjaan bukan sahaja dalam bidang pembuatan, malah bidang perniagaan dan kreatif.

“Calon-calon dengan kemahiran dan latihan vokasional yang diperakui juga dapat dengan mudah mencari pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“TVET akan memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada belia kita mendapatkan dan mencipta pekerjaan. Ini dapat mengakhiri kebergantungan kita pada pekerja asing,” katanya.

Tambahnya, pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal pakar menguntungkan, justeru masyarakat patut mengiktiraf kepentingan TVET.

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata, TVET akan membolehkan tahap kepakaran tertentu dicapai, bukan dengan kaedah cuba-cuba.

Beliau mencadangkan penjenamaan semula TVET dan jaminan bahawa sekolah-sekolah dilengkapi dengan sempurna supaya dapat menyampaikan program berkaitan.

“Walaupun (program TVET) biasanya merangkumi kimpalan, kerja kayu, jahitan dan sains domestik, kini ia telah berkembang menjadi TVET digital juga. Jika fokusnya adalah TVET digital, pasti ada permintaan global,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, pekerjaan yang memerlukan kelayakan TVET mesti dibayar gaji yang bagus untuk menghapuskan persepsi masyarakat bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua.

Pada April, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata, lulusan TVET tidak patut dipandang rendah kerana mereka adalah penggiat utama pada masa depan negara.

Katanya, kemahiran teknikal adalah aset berharga bagi belia.

Nurul Izzah mengetuai Jawatankuasa Pemerkasaan TVET dari Jun hingga Disember 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.