
“Kaum bukanlah satu perkataan yang buruk,” kata Muhammed Abdul Khalid yang pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita tidak dapat mengelak daripada bercakap mengenai isu kaum jika anda melihat kepada beberapa isu seperti kurangnya individu yang mewakili kumpulan tertentu dalam sesetengah sektor.”
Baru-baru ini, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Sheriff Kassim dan bekas pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak mengkritik penetapan dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum dengan menegaskan ia sebaliknya perlu memberi fokus kepada kumpulan yang memerlukan.

Muhammed berkata, kerajaan telah menggunakan dasar berasaskan kumpulan yang memerlukan dalam usaha membasmi kemiskinan dan ia “masuk akal” dan mesti diteruskan.
“Dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum dan berasaskan kumpulan yang memerlukan adalah saling melengkapi,” katanya kepada FMT.
“Salah satunya tidak perlu wujud bersendirian. Langkah menggantikan dasar berasaskan kaum dengan memfokuskan kepada golongan memperlihatkan kekurangan walaupun ia mungkin nampak menarik.”
Sebagai contoh katanya, menggalakkan penyertaan orang Melayu adalah satu-satunya cara untuk menangani kekurangan pekerja Bumiputera dalam sektor tertentu.
“Katakan jika anda ingin mendapatkan lebih ramai akauntan berbangsa Melayu. Anda bukan hanya melihat golongan Melayu miskin tetapi mana-mana orang Melayu, memandangkan dengan cara itu sahaja anda boleh mencapai matlamat utama berkenaan.
“Begitu juga dengan situasi sektor perkhidmatan yang kurang diwakili bukan Bumiputera atau golongan wanita atau menangani isu ketidakseimbangan antara wilayah.
“Berdasarkan contoh-contoh seperti ini, anda tidak boleh hanya melihat kepada keperluan.”
Muhammed berkata, dasar berasaskan kaum hanya akan menjadi masalah apabila ia bersifat kekal atau disalah guna, iaitu apabila “kontrak ditawarkan kepada Bumiputera yang tidak layak, biasiswa dibolot oleh golongan berada ataupun amalan pengambilan pekerja yang cenderung terhadap kaum tertentu dalam sektor swasta”.
“Bagi saya, ini sangat menjelikkan, tetapi perkataan ‘kaum’ itu sendiri tidak harus ditafsirkan dari sudut yang buruk,” katanya.
“Kita tinggal dalam negara berbilang kaum. Kita mesti memastikan peluang disediakan untuk mana-mana kumpulan yang kurang diwakili, sama ada dari segi gender, wilayah, umur atau kaum.”