
K Rajen Gunaretnam berkata, Pengarah Kanan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Zenith) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli telah memintanya untuk mendapatkan jam tangan Maurice Lacroix sekitar 2015.
Zarul terbabit dalam dua dakwaan kes rasuah Lim yang dikatakan meminta keuntungan sebanyak 10% daripada Zarul yang akan diperolehinya kelak menerusi projek terowong dasar laut dan juga dakwaan bahawa Lim menerima suapan berjumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.
Lim turut berdepan dua lagi pertuduhan menyebabkan lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.
“Saya membeli jam itu daripada pembekal pada harga RM20,000 dan menjualnya kepada Zarul pada harga RM40,000,” kata Rajan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudiannya bertanyakan kepada Rajen mengapa terdapat “perbezaan besar” pada harga jam terbabit yang dijawab bahawa broker biasanya menjana keuntungan sekitar 35% hingga 50% daripada harga jualan.
“Ia adalah amalan biasa dalam penjualan barangan mewah,” kata Rajen.
Apabila disoal oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo sama ada saksi terbabit tahu mengapa Zarul membeli jam tangan itu, Rajan berkata, Zarul membelinya untuk kakitangan dan dirinya.
“Apabila saya mendapat jam tangan yang elok, saya akan menghubungi dan memaklumkan dia mengenainya. Zarul meminta saya membawa jam tangan itu ke pejabatnya,” katanya.
Rajan berkata, dia tidak pernah bertemu Lim sebelum ini dan tidak pernah tahu mengenai kaitannya antara Lim dan jam tangan yang dijual itu.
Awal hari ini, Muhamad Azrai Mohamad Zaini yang juga bekas kakitangan di Unit Perancang Ekonomi, turut memberi keterangan dalam perbicaraan sama.
Gobind menyoal mengenai keterangan saksi dengan Azrai menyebut bahawa Consortium Zenith BUCG akan dilantik sebagai perunding bebas untuk menyediakan kertas permintaan untuk cadangan (RFP) sebelum tender terbuka ditawarkan.
“Tetapi dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan BUCG, tidak ada disebut mereka akan dilantik sebagai perunding.
“Kenapa kamu memasukkan nama mereka apabila kamu tidak boleh ingat perincian mengenai perkara yang berlaku 10 tahun lalu? Tidak ada asas untuk kamu berbuat demikian,” kata Gobind.
Azrai berkata, dia masih teringat bahawa isu itu dibangkitkan ketika mesyuarat pegawai kerajaan negeri dengan wakil Consortium Zenith BUCG pada 2011.
Gobind: Kenapa kamu tidak membantah ketika BUCG hadir dalam mesyuarat untuk menyediakan RFP pada masa itu?
Azrai: Saya cuma melakukan tugas dengan memanggil mesyuarat antara kakitangan kerajaan negeri dan BUCG. Saya rasa lebih sesuai jika pegawai atasan lebih tinggi seperti setiausaha kerajaan negeri untuk menyuarakannya.
Azrai bersetuju dengan pihak pembelaan yang mencadangkan bahawa dia tidak tahu mengenai perincian dalam kertas RFP terakhir yang siap setahun kemudian.
Ketika pemeriksaan semula, Wan Shaharuddin bertanyakan Azrai supaya menyatakan pendiriannya sama ada dia menganggap wakil Consortium Zenith BUCG wajar terlibat dengan pegawai kerajaan negeri untuk menyediakan kertas RFP terbabit.
“Perkara itu tidak ada masalah. Tetapi saya berasakan ia tidak sesuai untuk mereka terlibat dalam proses tender terbuka,” kata Azrai.
Gobind kemudiannya menyatakan terdapat percanggahan dengan keterangan Azrai sebelum ini kerana saksi terbabit sebelum ini mengatakan wakil Consortium Zenith BUCG tidak sepatutnya menghadiri mesyuarat itu sejak awal lagi.
“Jika boleh, saya mahu menyoal balas lebih lanjut atau memasukkannya dalam hujah selepas ini,” katanya.
Hakim Azura Alwi berkata, pihak pembelaan boleh mengemukakan percanggahan keterangan itu dalam hujahnya.