
Dalam jawapan bertulisnya menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (PH-Kota Belud) di Dewan Rakyat, Ismail berkata peruntukan itu melibatkan program menyantuni petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC), MAEPS, Serdang.
Isnaraissah dalam soalan bertulisnya meminta Perdana Menteri menyatakan signifikan peruntukan itu, memandangkan J-KOM dilihat disalahgunakan untuk tujuan politik bagi memburukkan imej pihak tertentu.
Perdana Menteri berkata, J-KOM juga telah melaksanakan inisiatif tanpa perbelanjaan dengan menyediakan sebanyak 291 kandungan kreatif seperti poster, video, foto dan lain-lain.
“Kandungan tersebut telah dibuat hantaran dan ciapan pada media sosial jabatan seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
“Ini selaras dengan hala tuju jabatan dalam Program Komunikasi Strategik Pembudayaan Norma Baharu Covid-19.
“Berdasarkan program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, jelas sekali tiada sebarang peruntukan J-KOM yang disalah guna untuk program berkaitan politik,” kata Ismail.
J-KOM dijenamakan semula berkuatkuasa pada 1 Feb bagi membangun komuniti, khususnya di peringkat akar umbi yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital menghayati makna serta fokus patriotisme menggunakan pendekatan “pengehakupayaan komuniti”.