
KeTSA dalam kenyataan semalam berkata, melalui usaha itu kehilangan nyawa dapat dielakkan dan kerosakan harta benda dapat diminimumkan memandangkan bencana tanah runtuh dikenal pasti sebagai ancaman yang boleh membawa kerugian besar kepada negara.
Katanya, usaha dan penglibatan kementerian itu antara lain adalah menerusi inisiatif dilaksanakan JMG berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di Kawasan Zon Bencana Tanah Runtuh (JMG. SOP.01).
Mengambil contoh insiden tanah runtuh yang berlaku di Forest Hill, Kota Kinabalu; Cameron Highlands dan terbaru di Kemensah Heights, Ampang yang disebabkan oleh faktor hujan, JMG yang mempunyai kepakaran dalam bidang geologi melakukan pemeriksaan tapak bencana dalam tempoh 24 jam sebaik menerima maklumat.
Penilaian tahap keselamatan turut dibuat sejurus tiba di tapak bencana bagi memastikan kumpulan penyiasat JMG dan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam selain agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya tidak terdedah kepada ancaman runtuhan susulan, menurut KeTSA.
Sementara itu, bagi tujuan kesiapsiagaan dan pengurusan bencana, JMG juga melaksanakan penzonan kawasan bencana mengikut tahap risiko yang terbahagi dua, iaitu Zon Bahaya dan Zon Kawalan.
“Zon Bahaya berada dalam perimeter jasad tanah runtuh manakala Zon Kawalan adalah kawasan yang mengelilingi Zon Bahaya yang mempunyai ciri-ciri geologi dan geomorfologi cerun sama dengan Zon Bahaya serta terdapatnya tanda-tanda pergerakan tanah,” menurut kenyataan itu.