Aktifkan semula jawatankuasa teknikal gempa, kata JMG

Aktifkan semula jawatankuasa teknikal gempa, kata JMG

Ketua Pengarah Zamri Ismail cadang ia turut libat MetMalaysia, Jupem, JKR, ahli akademik dan badan profesional.

gempa segamat
Sejak 24 Ogos lalu enam gempa bumi lemah direkodkan dengan gegaran pertama dikesan di Segamat. (Gambar MET Malaysia)
PETALING JAYA:
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) JMG telah memulakan kerja lapangan di Johor terutama di Segamat susulan gempa bumi, selain mencadangkan Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi diaktifkan semula.

Ketua Pengarah JMG Zamri Ismail, berkata langkah itu penting bagi menyelaras usaha kajian dan penilaian semula risiko gegaran di Malaysia.

Katanya, jawatankuasa teknikal itu, yang dikoordinasikan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh memperincikan semula data sedia ada bagi membolehkan kajian dan tindakan bersesuaian diambil.

Beliau berpandangan jawatankuasa turut dianggotai Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Jabatan Kerja Raya (JKR), ahli akademik serta badan profesional.

“Cadangan jawatankuasa ini penting bagi memperincikan semula data sedia ada (aktiviti tektonik dan sesar yang berpotensi aktif),” katanya kepada Bernama.

Jawatankuasa teknikal itu aktif kali terakhir pada 2020.

Zamri berkata, siri gegaran di Segamat baru-baru ini merupakan isyarat penting yang tidak dijangka, apabila aktiviti tektonik mencetuskan proses pelarasan semula tekanan dalaman kerak bumi di sepanjang zon sesar berkenaan sehingga mengakibatkan gempa bumi.

Justeru, terdapat keperluan mengkaji semula semua sesar lama di Malaysia, yang dianggarkan berusia antara 60 juta hingga 200 juta tahun, katanya.

“Antara tumpuan utama kajian ialah meneliti semula data sejarah ciri atau sifat sesar lama, menentukan kadar pergerakan (slip rate) serta panjang sesar bagi menganggar magnitud berpotensi,” katanya.

Menurutnya, kajian ‘microzonation’ dan pengemaskinian pemetaan sesar di kawasan berpotensi gegaran juga penting kerana impak gempa bumi berbeza mengikut lokasi walaupun dengan magnitud sama.

Zamri turut menjelaskan terdapat beberapa kawasan utama di Malaysia yang mempunyai potensi risiko, selain faktor rentas sempadan iaitu gempa bumi dari negara jiran yang boleh memberi kesan dalam negara.

Beliau berkata, kepakaran geodesi daripada Jupem amat penting bagi menentukan sama ada berlaku perubahan atau peralihan kadar pergerakan sesar selepas gegaran berlaku.

Sejak 24 Ogos lalu, enam gempa bumi lemah direkodkan, dengan gegaran pertama dikesan di Segamat pada magnitud 4.1, disusuli gegaran bermagnitud 2.8 pada pagi hari sama.

Gegaran seterusnya direkodkan pada 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4), dan 30 Ogos (2.7).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.