Projek perintis ‘geofencing’ pastikan arahan kuarantin dipatuhi, kata Khairy

Projek perintis ‘geofencing’ pastikan arahan kuarantin dipatuhi, kata Khairy

Menteri kesihatan berkata, projek perintis itu akan menggunakan teknologi tinggi untukmemantau pengembara selepas memasuki negara ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (tengah) dan Pengerusi MAHB Zambry Abd Kadir (kiri) ketika lawatan ke KLIA hari ini.
SEPANG:
‘Geofencing’ iaitu kaedah pemantauan individu berpandukan pergerakan, mungkin akan digunakan bagi memastikan pengembara yang memasuki negara ini mematuhi arahan pemantauan di rumah (HSO).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, walaupun sudah ada projek perintis untuk pengesan digital elektronik bagi mereka yang menjalani HSO, kerajaan juga juga sedang melihat pelaksanaan projek serupa menggunakan teknologi ‘geofencing’.

Geofencing adalah perkhidmatan berdasarkan lokasi dengan aplikasi atau perisian lain menggunakan teknologi seperti GPS atau RFID untuk mencetuskan tindak balas apabila peranti mudah alih atau tag RFID memasuki atau meninggalkan batas maya yang disusun di sekitar kawasan geografi tertentu, atau ‘geofence’.

“Sudah tentu, bahayanya adalah individu terbabit masih boleh meninggalkan telefon dan keluar. Tetapi jika anda keluar dan tidak ada telefon, anda tidak boleh ‘check-in’ (ke premis lain menggunakan aplikasi MySejahtera),” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ada banyak cara untuk ‘main’ sistem itu, tetapi kita akan pastikan ‘kesempurnaan bukanlah musuh kepada kebaikan’. Kita perlu menggunakan sistem terbaik yang kita ada, jadi geofencing ini adalah satu kemungkinan yang ada.

Ditanya apakah beliau dapat memberikan tempoh masa pelaksanaannya, Khairy berkata beliau sudah pun memberikan ‘lampu hijau’ untuk melaksanakan projek perintis berkenaan.

Ketika ini sudah ada projek perintis geofencing bagi memantau pesakit Kategori 1 dan 2 yang menjalani kuarantin di rumah di Lembah Klang.

Khairy yang bercakap kepada pemberita selepas meninjau proses aliran pengembara antarabangsa yang tiba di KLIA, menekankan bahawa sangat penting untuk memastikan tiada keadaan sesak atau senario serupa yang boleh mengakibatkan kesesakan di kawasan itu.

Beliau juga berharap supaya kaedah mengisi borang bagi mereka yang memasuki negara melalui KLIA dapat dihapuskan, sambil menyatakan bahawa isu itu akan dibincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negara.

Khairy juga mengumumkan mulai esok, individu yang memasuki negara yang ingin menjalani kuarantin di rumah boleh memohon dengan hanya melayari laman web Kementerian Kesihatan.

Pada 8 Ogos, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, warga Malaysia dan asing yang baru kembali dari luar negara dan mempunyai kediaman di Malaysia boleh melakukan kuarantin di rumah jika memenuhi kriteria tertentu. Salah satunya adalah dengan mewajibkan pemantauan elektronik.

Ketika ini mereka yang ingin menjalani kuarantin di rumah perlu memohon melalui emel dan Khairy menjelaskan ketika ini terdapat kira-kra 6,000 email yang masih belum dijawab kerana ia perlu dilakukan secara manual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.