Leka hadiri parti liar, 2 anggota polis antara 14 ditahan

Leka hadiri parti liar, 2 anggota polis antara 14 ditahan

Semuanya dikompaun RM4,000 setiap seorang ketika berhibur dalam parti liar di sebuah rumah mewah di Changkat Raja Chulan, Sabtu lalu.

Sahar Abd Latif berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua 14 individu yang ditahan positif dadah jenis ketamin.
PETALING JAYA:
Seramai 14 individu termasuk dua anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel ditahan ketika sedang leka berhibur dalam satu parti liar di sebuah rumah mewah di Changkat Raja Chulan di sini Sabtu lalu.

Serbuan telah dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat dan melakukan risikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Sahar Abd Latif berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan berusia 20 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, polis telah menjumpai dadah jenis Ketamin seberat 5.56g yang dianggarkan bernilai RM834.

“Penganjur parti liar berkenaan adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan alasan yang diberikan kerana menganjur parti liar tersebut adalah untuk bertemu kenalan serta berhibur.

“Pengunjung yang hadir dijemput melalui panggilan telefon oleh penganjur dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Premis tersebut telah disewa oleh penganjur dengan harga RM220 sehari,” katanya dalam kenyataan lapor Kosmo!

Sahar berkata, hasil semakan lanjut identiti pengunjung mendapati, dua antara yang ditahan adalah anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel (sokongan) dari cawangan Tugas Am.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua 14 individu yang ditahan positif dadah jenis ketamin.

“Kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No.2) 2021 menjadikan jumlah kompaun sebanyak RM56,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.