
Khairy berkata, pihaknya menyasarkan memvaksin kumpulan pertama berkenaan menjelang awal Oktober. Menurutnya, butiran mengenai jenis vaksin dan sama ada ia boleh dicampur adukkan juga akan diumumkan tidak lama lagi.
Beliau berkata, kumpulan berisiko tinggi membabitkan mereka yang berusia; mempunyai masalah terimunokompromi atau komorbiditi; pekerja kesihatan, dan kakitangan pusat jagaan.
Tambahnya, tiada keputusan sama ada dos ketiga perlu untuk semua orang.
“Perkara ini masih dalam perbincangan dengan pakar kita,” kata Khairy dalam sidang media selepas pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Mengulas berkenaan bekalan dan stok bagi dos ketiga, beliau berkata, bekalan adalah mencukupi, namun pembekal vaksin perlu terlebih dulu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) susulan kelulusan terdahulu hanya diberikan kepada maksimum dua dos sahaja.
Berhubung program vaksinasi di Kedah, Khairy berkata, negeri berkenaan kini sedang menumpukan kepada usaha meningkatkan vaksinasi di kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti di Baling dan Pendang.
Katanya, kira-kira 17% populasi dewasa di Kedah yang belum menerima dos pertama, atau enggan divaksin.
“Kita akan bekerjasama dengan pemimpin setempat dan pegawai daerah supaya golongan ini tampil divaksin,” katanya sambil menyatakan “kita perlu pergi kepada mereka”, berbanding bergantung kepada pusat vaksinasi semata-mata.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap pihak berkuasa memastikan kepatuhan SOP sentiasa terjamin terutama membabitkan individu yang diberikan arahan pemantauan di rumah (HSO).
Minggu ini sahaja, katanya, sejumlah 523 daftar masuk MySejahtera membabitkan pesakit berisiko tinggi atau pesakit positif Covid-19, yang sepatutnya wajib dikuarantin di rumah, di Kedah. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tindakan yang diambil terhadap golongan itu.
Kira-kira 18% daripada jumlah berkenaan mendaftar masuk ke pasar raya, katanya.
Selain itu, mengulas peralihan negeri itu ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau berkata Kedah berada pada landasan baik selepas menunjukkan perkembangan positif, termasuk berjaya mengurangkan kadar kematian harian, serta kematian di luar hospital (BID).
Beliau berkata, pihak kementerian bagaimanapun perlu bergantung kepada data sebelum syor dibuat terhadap negeri itu beralih kepada Fasa Dua.
Sehingga kini, hanya Kedah dan Johor kekal berada dalam Fasa Satu.