Hujan lebat berterusan, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup

Hujan lebat berterusan, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup

Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta berkata, notis penutupan itu berkuat kuasa pukul 9 ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Laluan berkenaan ditutup atas faktor keselamatan, kata Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta.
IPOH:
Laluan Persekutuan FT 185 Seksyen 43.9 di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan, akibat hujan lebat yang berterusan hari ini.

Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta dalam satu kenyataan malam ini menyatakan notis penutupan itu berkuat kuasa pukul 9 ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah-Cameron Highlands untuk jalan perhubungan sementara. Kesulitan amatlah dikesali,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kejadian membabitkan laluan sepanjang 30m dengan kedalaman 4.57m, dikesan berlaku kira-kira pukul 5.45 petang tadi dan berkemungkinan disebabkan hujan berterusan menyebabkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh.

“Pemantauan Jabatan Kerja Raya Daerah dan pihak konsesi Jalan Persekutuan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.