
Beliau berkata, walaupun beberapa universiti tempatan mula menjalankan kajian mengenainya, namun kerajaan belum mengemukakan data terperinci yang berkaitan.
Katanya, Malaysia wajar mempunyai dasar dan strategi khusus untuk mengenal pasti, menyelidik dan memulihkan kesan jangka panjang Covid-19 terhadap penghidapnya.
Lancet, jurnal perubatan paling berwibawa dalam penerbitannya pada 28 Ogos lalu menyatakan Long Covid adalah cabaran besar terhadap sektor perubatan.
“Long Covid adalah keadaan yang menyaksikan bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah pulih. Kebanyakannya berterusan selama empat ke 12 minggu, namun ada yang berlarutan sehingga sembilan bulan.
“Banyak yang masih kita tidak tahu tentangnya, justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, dengan jumlah kes positif melebihi dua juta, tidak mustahil peratusan bekas pesakit yang mempunyai kesan jangka panjang Covid-19 juga tinggi dan ramai.
“Pemulihan kesihatan mereka ini sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara meyeluruh.
“Saya menyarankan kerajaan mula memberi perhatian kepada kes Long Covid ini secara bersepadu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dasar kerajaan bukan sahaja memfokuskan kaedah atau strategi menangani pandemik melalui pencegahan dan rawatan semata-mata, tetapi juga perlu merangkumi rawatan jangka panjang kepada bekas pesakit.
“Dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baharu kerana pandemik ini, justeru pelaburan kesihatan kita tidak boleh lagi pada kadar 4% KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).
“Tiba masanya kita menyasarkan peruntukan 7% ke 8% KDNK negara untuk sektor kesihatan. Langkah ini adalah permulaan baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan setelah tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita sejak Februari 2020.”