
Berikutan itu, WAO menggariskan tiga cadangan yang harus diberi keutamaan oleh kerajaan dalam usaha pemulihan negara.
Cadangan pertama ialah memperkasakan perkhidmatan sokongan sedia ada menerusi belanjawan berkenaan untuk membantu mangsa kes keganasan domestik dan keganasan berdasarkan gender.
“Dalam tempoh dua tahun lalu, kita melihat pelbagai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan rakyat diarahkan duduk di rumah dalam usaha menguruskan pandemik. Ini memburukkan lagi situasi yang membabitkan keganasan domestik dan keganasan berdasarkan gender di seluruh Malaysia,” kata WAO dalam satu kenyataan.
Cadangan kedua adalah pendekatan responsif gender dalam menangani isu pengangguran dan keselamatan pekerjaan.
“Insentif dan subsidi harus disediakan untuk menangani masalah pengambilan yang kurang peka terhadap gender dan sokongan penjagaan anak-anak, merapatkan jurang dalam pengambilan pekerja yang semakin meruncing akibat pandemik,” katanya.
Cadangan terakhir adalah supaya kerajaan melaksanakan perkhidmatan penjagaan mental yang lebih kukuh selain mewujudkan akses dan meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.
“Kami menggesa kerajaan mempertimbangkan semua cadangan ini bagi memastikan Belanjawan 2022 menyediakan sokongan kepada rakyat yang paling terkesan oleh pandemik,” kata pertubuhan itu.