
Presiden Upko itu juga turut melontarkan persoalan berkenaan sejauh mana rakyat Malaysia benar-benar mengambil berat kepentingan sejarah pembentukan negara ini.
Beliau berkata, kesedaran rakyat Malaysia dalam memahami asas fakta sejarah berkaitan pembentukan Malaysia masih tidak memuaskan, sehingga menimbulkan salah tanggap.
“Isu yang membelenggu situasi serta mencetuskan ketegangan di Sabah dan Sarawak berpunca daripada kurangnya pemahaman. Justeru, menghargai asas pembentukan negara ini adalah penting,” katanya selepas menghadiri webinar bertajuk “Memelihara Autonomi Sabah dan Sarawak Secara Berperlembagaan”.
Sambil mengukuhkan dakwaannya, Madius berkata, sambutan Hari Malaysia hanya diiktiraf secara rasmi sebagai cuti umum bermula 2010, bermaksud ia hanya disambut dengan rasmi sejak 11 tahun lalu.
“Sambutan berkenaan bersilih ganti dianjurkan di Kota Kinabalu dan Kuching. Jadi, saudara dan saudari sekalian, Malaysia hanya ada “Sabah” dan “Sarawak”.
“Sambutan ini tidak pernah diraikan di Kuala Lumpur atau mana-mana bahagian lain di Semenanjung.
“Kita mempunyai negara baharu, Malaysia, namun mengapa anda tidak menghormati kelahiran negara ini? Mengapa anda tidak menyambutnya?
“Sehingga kini, mereka yang berada di Semenanjung keberatan untuk menyambut sambutan itu di Ibu Negara, mengapa? Jadi, semalam, dalam perbahasan saya di Parlimen ada menyebut mungkin sudah tiba masanya (sambutan diadakan di Semenanjung).
“Saya menggesa kerajaan baharu ini menganjurkan sambutan Hari Malaysia di Ibu Negara dan bahagian lain di Semenanjung,” katanya sambil menyatakan inisiatif itu mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan ramai lagi rakyat Malaysia.
Mengulas berkenaan wakil Sabah dan Sarawak di Parlimen, beliau mencadangkan kedua-dua negeri itu mempunyai wakil satu pertiga di Dewan Negara, sekiranya jumlah sama tidak dapat dicapai di Dewan Rakyat.
“Jika anda tidak dapat (satu pertiga wakil) di Dewan Rakyat, kita boleh mencapainya di Dewan Negara kerana ia hanyalah persidangan dan anda tidak mampu meminda perlembagaan,” katanya.
“Yang di-Pertuan Agong boleh melantik tambahan Senator dari Sabah dan Sarawak.
“Sekiranya berlaku pindaan perlembagaan di Dewan Rakyat, pindaan itu perlu juga melalui Dewan Negara dan pindaan itu akan dibahas,” katanya.