
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid berkata, PKRC itu mampu memuatkan kira-kira 500 pesakit di asrama sekolah dan kelas yang diubah suai.
“PKRC ini mula dibuka sejak semalam (Rabu) dan setakat ini menempatkan 184 pesakit Covid-19 yang terdiri daripada Orang Asli sekitar Kuala Krau.
“Kita boleh menempatkan sehingga 200 pesakit di asrama dan 300 lagi di dalam kelas yang diubah suai mengikut keperluan semasa dan situasi Covid-19 di kawasan berkenaan,” katanya selepas meninjau PKRC itu hari ini.
Beliau berkata, pembukaan PKRC khas untuk Orang Asli itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Pahang dan dikendalikan bersama oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Seramai 1,133 Orang Asli di 10 perkampungan sekitar Kuala Krau dikesan positif Covid-19 dengan empat kematian dicatatkan sehingga semalam.
Perkampungan Orang Asli Kampung Penderas dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak 10 hingga 25 Sept ini, selepas 120 Orang Asli dijangkiti virus itu.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, seramai 134,494 Orang Asli sudah divaksin, dengan 77,970 daripada jumlah itu sudah menerima dos pertama, manakala 50,734 orang lengkap dua dos vaksin.
“Seramai 5,790 Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino dan kita sedang berusaha memberikan vaksin kepada mereka yang belum divaksinasi secepat mungkin.”