
Menerusi perbincangan secara langsung malam tadi, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong menjelaskan bahawa kerajaan dan PH telah bersetuju secara sebulat suara untuk tidak mewujudkan CSA, manakala MoU itu adalah perjanjian politik yang boleh ditamatkan sekiranya ia tidak dipatuhi oleh salah satu pihak.
Mereka berkata, ini akan memastikan gabungan pembangkang boleh meneruskan peranannya sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.
Menurut Leong, salah satu klausa (Klausa 3.3A) dalam MoU itu menyatakan bahawa PH mesti mesti dirujuk dan bersetuju dengan Belanjawan sebelum ia dibentangkan.
“Jadi, jika ia adalah CSA, PH perlu menyokong Ismail tanpa mengetahui isi kandungan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan. Ia agak tidak bertanggungjawab bagi pihak kami.
“Jika kita mahu mewujudkan CSA seperti yang digunakan di United Kingdom (UK), maka tidak akan ada pembangkang. Kita akan membentuk kerajaan perpaduan tanpa menteri,” katanya.
Leong berkata, CSA digunakan oleh kerajaan minoriti untuk cuba mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen bebas dan parti politik yang lebih kecil untuk mendapatkan majoriti.
“PH bukanlah sebuah parti politik kecil yang cuba membantu perdana menteri membentuk majoriti di Parlimen.”
Sementara itu, Wong menegaskan terdapat juga sebuah jawatankuasa pemantau yang diwujudkan untuk melihat perkembangan transformasi yang dilakukan, selain mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya setiap dua minggu.
Katanya, MoU itu sebenarnya akan memperkukuhkan peranan pembangkang apabila mereka menetapkan pembaharuan Parlimen sebagai perkara penting yang perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan.
“Sebaik pembaharuan Parlimen dilakukan, Akta Perkhidmatan Parlimen akan dibentang dan kita akan menjadi lebih kuat,” kata Wong.
Beliau juga berharap parti pembangkang lain seperti Muda dan Warisan dapat melakukan libat urus dengan kerajaan.
“Anda boleh mewujudkan perjanjian berasingan yang menekankan beberapa perkara lain, ia terpulang kepada anda dan saya berharap mereka akan melakukannya.”
MoU mengenai transformasi dan kestabilan politik itu merangkumi enam bidang utama dan ia ditandatangani pada Isnin lalu oleh Ismail dan beberapa pemimpin parti komponen PH terdiri daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amananah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Ia bertujuan mewujudkan kestabilan politik yang diperlukan untuk menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.