Kuarantin 10 hari jika positif sebaik tiba di Langkawi, kata MB

Kuarantin 10 hari jika positif sebaik tiba di Langkawi, kata MB

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan ujian pengesanan Covid-19, namun kemungkinan akan ada pelancong yang 'terlepas'.

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, individu yang didapati positif Covid-19 akan dibawa terus ke CAC atau jika perlu mereka boleh dirawat di Hospital Sultanah Maliha atau memilih kuarantin di hotel atau di PKRC. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelancong yang dikesan positif sebaik tiba di Langkawi ini akan diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, berkata walaupun kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan ujian pengesanan Covid-19, namun kemungkinan akan ada pelancong yang ‘terlepas’.

“Golongan terbabit mereka akan dibawa terus ke CAC atau jika perlu mereka boleh dirawat di Hospital Sultanah Maliha atau memilih kuarantin di hotel atau di PKRC,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan pelancong di pulau peranginan itu hari ini, lapor Sinar Harian.

Sanusi berkata, kerajaan negeri juga bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuka pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM).

“Anggota pasukan keselamatan dan kakitangan KKM juga mencukupi bagi memantau kemasukan pelancong sebaik mereka tiba di lapangan terbang atau terminal feri.

“Penduduk Langkawi tidak perlu risau, kita ada cukup anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas termasuk kakitangan KKM di pintu masuk,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian beberapa lokasi tumpuan di negeri lain yang kotor akibat kehadiran pengunjung yang ramai, beliau berharap perkara itu tidak berlaku di Langkawi.

“Kita di Langkawi agak berbeza kerana pelancong yang masuk melalui pesawat atau feri dan mereka hanya membawa beg pakaian dan mengambil peluang membeli-belah di sini.

“Apa yang terjadi di lokasi terbabit adalah pengunjung membawa makanan dan berkelah menyebabkan ada sisa sampah, tetapi pelancong di Langkawi banyak yang makan di kedai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.