Hilang tauliah mengajar di masjid, surau jika enggan divaksin, kata Mufti Melaka

Hilang tauliah mengajar di masjid, surau jika enggan divaksin, kata Mufti Melaka

Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Covid-19 Melaka minggu lalu.

Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil berkata, sekiranya terdapat guru agama yang enggan divaksin, maka penilaian terhadap tindakan susulan akan dibuat, termasuk menamatkan tauliah mereka.
PETALING JAYA:
Guru agama, guru takmir bertauliah dan pengkuliah di Melaka yang tidak lengkap divaksin tidak akan dibenarkan mengadakan kelas ilmiah secara bersemuka di semua masjid dan surau di negeri itu.

Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Covid-19 Melaka minggu lalu.

Setakat ini katanya, Melaka mempunyai 1,300 guru agama bertauliah, dengan kira-kira 600 daripadanya masih aktif mengajar di masjid dan surau di seluruh negeri itu.

“Hasil perbincangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 Negeri, kita memutuskan tidak membenarkan semua guru agama, termasuk guru al-Quran, pengkuliah kursus, pengkuliah mingguan atau guru takmir yang tidak mengambil suntikan vaksin mengajar secara bersemuka di masjid.

“Setakat ini, Melaka mempunyai anggaran 500 hingga 600 guru agama yang aktif mengajar di masjid atau surau dan kita akan minta lembaga masjid menyemak rekod vaksinasi mereka melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas program penyerahan “foodbank” Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, Melaka.

Halim berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sekiranya terdapat guru agama yang enggan mengambil vaksin Covid-19 dan penilaian terhadap tindakan susulan akan dibuat, termasuk menamatkan tauliah mereka.

“Guru-guru, pemegang tauliah atau guru takmir inilah yang menjadi contoh dan ikutan masyarakat.

“Jadi, saya bimbang sekiranya ada di antara guru agama ini tergolong dalam kumpulan antivaksin dan kerana itu juga, kita mensyaratkan semua pengerusi lembaga masjid serta surau mendapatkan maklumat guru-guru yang mengajar.”

Katanya, perkara tersebut turut terpakai kepada semua ahli jawatankuasa masjid lain, termasuk pegawai masjid, imam, bilal dan noja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.