
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan SPRM terhadap Rina yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, mendapati tiada elemen rasuah dalam penyelesaian hutangnya kepada sebuah syarikat penerbitan Perancis.
“@SPRMMalaysia untuk kes kepentingan awam seperti ini, lebih banyak maklumat patut didedahkan untuk memastikan ahli politik yang memegang jawatan penting benar-benar bebas rasuah,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel di Twitter.
“Kenapakah PM menjawab bagi pihak SPRM?”
Rina yang juga ketua Wanita Bersatu, mendapat notis kebankrapan atas hutangnya kepada syarikat penerbitan Perancis, Novovision berjumlah RM1,340,642.02 setakat 17 Nov 2020.
Tuntutan itu melibatkan beberapa filem, rancangan komedi dan dokumentari yang dijual kepada tiga syarikat, dengan Rina salah seorang pengarahnya.
Pada Februari, peguam Mark Ho yang mewakili Sarl Novovision berkata, Rina telah menyelesaikan hutang berkenaan tanpa menyatakan jumlah sebenarnya.
Laporan SPRM kemudian dibuat terhadap Rina berhubung sumber dana yang digunakannya untuk membayar hutang itu. Pada Julai, beberapa Ahli Parlimen pembangkang menggesa supaya SPRM mendedahkan hasil siasatannya.
Katanya, berdasarkan senarai aset diisytiharkan Rina lebih setahun lalu, beliau tidak mungkin mampu membayar hutang berkenaan dalam tempoh begitu singkat.