2 berdepan tuduhan AS berkait sindiket godam persoal undang-undang ekstradisi

2 berdepan tuduhan AS berkait sindiket godam persoal undang-undang ekstradisi

DoJ sebelum ini memfailkan tuduhan terhadap mereka dan lima yang lain kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman global selama sekurang-kurangnya 6 tahun.

Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua dituduh melakukan kegiatan penggodaman, antaranya mencuri identiti dan teknologi permainan video, menanam perisian tebusan dan mengintip aktivis Hong Kong.
KUALA LUMPUR:
Dua ahli perniagaan dari Perak yang dikehendaki Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berhubung satu sindiket penggodaman utama, berusaha untuk menangguhkan prosiding ekstradisi mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua mengemukakan saman di hadapan Mahkamah Tinggi semalam untuk mencabar status Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi dari sudut perlembagaan.

Peguam mereka, Tey Jun Ren, memberitahu hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid bahawa Ling dan Wong memfailkan permohonan penangguhan terhadap prosiding ekstradisi mahkamah lebih rendah itu, sementara menunggu penyelesaian tuntutan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) mahu memfailkan balasan rasmi terhadap usaha kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan kes ekstradisi.

Emelia kemudian menetapkan 22 Okt untuk mendengar permohonan Ling dan Wong untuk menangguhkan kes ekstradisi dan mengarahkan AGC supaya mengemukakan afidavitnya sebagai balasan kepada permohonan ahli perniagaan berkenaan sebelum 29 Sept.

Mahkamah mendengar hujah berkaitan kes ekstradisi berkenaan daripada AGC dan peguam tertuduh awal tahun ini.

DoJ memfailkan tuduhan terhadap mereka dan lima warga China kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman global selama sekurang-kurangnya enam tahun untuk mencuri identiti dan teknologi permainan video, menanam perisian tebusan dan mengintip aktivis Hong Kong.

Ling dan Wong diberkas oleh polis Bukit Aman pada 14 Sept 2020 setelah kerajaan AS memohon untuk mengekstradisi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.