
Peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik berkata, wang itu adalah pinjaman yang diberikan oleh Junaith Asharab Md Shariff kepada adik Zahid, Mohamad Nasaee pada 2016 dan kemudian telah dibayar kembali.
“Tiada kaitan antara tertuduh (Zahid) dan Junaith untuk menunjukkan beliau tahu tentang aturan (pinjaman) ini,” kata Hisyam.
“Pihak pembelaan menegaskan bahawa tiada asas untuk mengatakan bahawa wang RM250,000 itu menjadi dorongan kepadanya untuk menganugerahkan projek MyEG kerajaan kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Mastoro Kenny IT Consultant & Services.”
Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi bernilai jutaan ringgit, selain menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.
Sebanyak 12 tuduhan membabitkan CBT, lapan berkaitan rasuah dan baki 27 lagi bagi pengubahan wang haram.
Hisyam juga memberitahu mahkamah, Junaith telah memberi keterangan bahawa wang itu adalah pinjaman kepada Nasaee dengan mengesahkan bahawa Zahid tidak mengetahui tujuan wang itu.
“Ini adalah kes pendakwaan berlebihan dan timbalan pendakwa raya perlu menjelaskan mengapa tuduhan ini dibuat sama sekali,” katanya.
Pihak pembelaan akan meneruskan penghujahan atas tuduhan rasuah lain apabila perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.