Permohonan hak penjagaan anak angkat pemilik Rumah Bonda 28 Okt

Permohonan hak penjagaan anak angkat pemilik Rumah Bonda 28 Okt

Mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun Ahd Razali untuk membatalkan perintah penjagaan interim kanak-kanak berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Siti Bainun Ahd Razali memohon hak penjagaan penuh lima anak angkatnya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret menetapkan 28 Oktober untuk mendengar permohonan pemilik Rumah Bonda bagi mendapatkan hak penjagaan penuh lima anak angkatnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali berkata, tarikh itu ditetapkan oleh majistret Norfarahain Roslan ketika sebutan kes hari ini.

“Mahkamah kemudian akan menetapkan siapa yang mendapat hak penjagaan kanak-kanak berkenaan,” katanya.

A’minahtul berkata, mahkamah turut mendengar permohonan Siti Bainun untuk membatalkan perintah sementara yang memberikan hak penjagaan lima kanak-kanak itu kepada JKM.

Hak penjagaan sementara itu diberi kepada JKM selepas Siti Bainun ditahan berhubung dakwaan penderaan melibatkan seorang kanak-kanak sindrom Down bernama Bella.

“Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan kami untuk mengetepikan perintah interim itu kerana menganggap ia dibuat mengikut undang-undang,” katanya kepada wartawan selepas prosiding berkenaan.

A’minahtul berkata, tiga ibu kandung kanak-kanak itu juga mahu menarik balik afidavit menyokong permohonan Siti Bainun kerana tidak memahami isi kandungannya.

“Bagi kes itu, mahkamah menetapkan 2 November untuk hujahan.

“Mahkamah juga membenarkan Siti Bainun menemui lima kanak-kanak itu,” katanya.

Bulan lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengabaikan Bella.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun tahun ini.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.