Olimpik Paris 2024 mampu hadiahkan emas pertama negara, kata Faizal Azumu

Olimpik Paris 2024 mampu hadiahkan emas pertama negara, kata Faizal Azumu

Menteri Belia dan Sukan itu mengakui harapan tinggi disandarkan kepada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang untuk membawa pulang pingat emas pertama di Olimpik Tokyo.

Ahmad Faizal Azumu menjangkakan atlet negara mampu mencapai kemuncak prestasi mereka untuk merealisasikan hasrat emas pertama Malaysia dalam temasya sukan paling berprestij di dunia pada 2024.
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu yakin Olimpik Paris 2024 mampu menghadiahkan pingat emas pertama kepada negara berdasarkan prestasi yang ditunjukkan atlet Malaysia di Tokyo baru-baru ini.

Mengakui harapan tinggi disandarkan kepada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang untuk membawa pulang pingat emas pertama di Olimpik Tokyo, Faizal berkata, prestasi emas yang ditunjukkan “The Pocket Rocketman” dalam acara keirin gagal mengangkat beliau sebagai juara dan hanya mampu meraih pingat perak.

“Kita cuba untuk dapatkan pingat emas pertama di Olimpik Tokyo, tetapi malangnya acara keirin oleh Azizulhasni (gagal beri emas).

“Saya rasa dia sudah berikan persembahan emas, namun nasib tidak menyebelahi beliau dan Malaysia kerana ‘pace maker’ terlalu jauh menyebabkan Azizulhasni tidak dapat memecut.

“Tetapi, apa yang saya boleh katakan, ia adalah persembahan emas bagi rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia.

Berbaki tiga tahun menjelang Olimpik Paris 2024, Faizal berkata, pasukan atlet negara dijangka dapat mencapai kemuncak prestasi untuk merealisasikan hasrat emas pertama negara dalam temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

“Dengan latihan baik, bukan saja bagi Azizulhasni, tetapi saya yakin dengan beberapa atlet lain juga akan capai kemuncak prestasi (untuk ke Olimpik Paris 2024),” katanya sambil menambah bahawa kerjasama rapat antara semua persatuan sukan amat penting bagi memastikan atlet negara mampu menjayakan misi berkenaan.

“Kalau kita berjaya lakukannya, saya percaya pingat emas pertama dalam genggaman kita.”

Pada Olimpik 2020 di Tokyo baru-baru ini, Azizulhasni dijulang sebagai wira kontinjen negara selepas memenangi pingat perak acara keirin, sekali gus memperbaiki pencapaiannya ketika meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Aksi di Tokyo adalah penampilan keempat Azizulhasni di pentas Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.