Naikkan bantuan ‘one-off’ pemandu teksi, cadang GTSM kepada kerajaan

Naikkan bantuan ‘one-off’ pemandu teksi, cadang GTSM kepada kerajaan

Yang Dipertua GTSM Kamarudin Mohd Hussain berkata bantuan itu perlu diteruskan memandangkan ramai di kalangan ahli persatuan terpaksa meminjam daripada ah long.

Kamarudin Mohd Hussain berkata, kerajaan perlu meneruskan bantuan ‘one-off’ kepada pemandu teksi terutama ketika ramai dalam kalangan ahli persatuan terpaksa meminjam daripada ahlong.
PETALING JAYA:
Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) mengemukakan enam cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2022 termasuk meneruskan dan menambah bantuan “one-off” daripada RM500 kepada RM1,000 bagi meringankan beban semua ahlinya.

Yang Dipertuanya Kamarudin Mohd Hussain berkata, cadangan itu adalah inisiatif mereka selepas Kementerian Kewangan meminta pandangan dan cadangan rakyat dalam proses menyediakan belanjawan berkenaan.

Katanya, cadangan itu juga adalah bagi membawa keluhan ahli persatuan terbabit yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan antara perkara yang ingin dibangkitkan ialah isu status B40 yang sebelum ini diberikan kepada pemandu teksi.

“Walaupun ada antara kami yang menerima bantuan melalui Geran Khas Prihatin (GKP) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu, namun perkara ini perlu dinilai semula kerana bukan semua pemandu teksi memiliki permit individu dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kegagalan kerajaan sejak tahun 2014 dalam memberi perhatian kepada pemandu teksi menyaksikan ramai dalam kalangan kami yang berdepan masalah kewangan berterusan akibat pendapatan terjejas hingga 70%. Ini ditambah pula dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu,” katanya melalui satu kenyataan.

Kamarudin berkata, kerajaan perlu meneruskan bantuan “one-off” kepada pemandu teksi terutama ketika ramai dalam kalangan ahli persatuan terpaksa meminjam daripada ahlong untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, perkara lain dicadangkan kepada kerajaan ialah pengenalan dan pelaksanaan subsidi bahan bakar serta pemansuhan duti eksais dan cukai jualan ke atas pemilik teksi.

“Pengumuman kerajaan mengenai pembukaan semula sektor pelancongan di Langkawi bermula 16 September ini adalah berita yang sangat baik kepada ahli GTSM di sana, namun ia tidak banyak membantu mengurangkan bebanan ditanggung selama ini.

“Berikutan itu kami meminta kerajaan agar mempertimbangkan pelepasan cukai kepada kenderaan teksi dari Langkawi yang ingin ke tanah besar bagi meringankan bebanan mereka,” katanya lagi.

Kamarudin turut merayu kerajaan supaya memberi pengecualian yuran pembaharuan lesen, termasuk lesen (pengangkutan perkhidmatan awam) PSV, GDL dan lesen pengendali (permit) kepada semua pemandu perkhidmatan dan pengangkutan awam darat untuk tempoh dua tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.