MoU hanya persefahaman, bukan kontrak mengikat, kata pakar

MoU hanya persefahaman, bukan kontrak mengikat, kata pakar

MoU ini mungkin digunakan untuk meluluskan Belanjawan, rang undang-undang dan agenda lain untuk melaksanakan pembaharuan.

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dan blok utama pembangkang, PH, menempa sejarah malam tadi apabila memuktamadkan MoU ke arah memulihkan kestabilan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perjanjian yang dimeterai antara pemimpin kerajaan dan pembangkang tidak lebih daripada hanya suatu persefahaman politik, dan tidak mengikat dari segi undang-undang, kata seorang pakar.

“Jika keadaan menjadi ‘sour/fall out’, ia hanya ‘fall out’ dari segi politik, bukan pelanggaran kontrak,” kata pakar perlembagaan Bastian Pius Vendargon kepada FMT.

Katanya, bergantung kepada kedua-dua pihak untuk menjayakannya; kegagalan mungkin berlaku jika ada pihak yang curiga atau tidak setuju.

Semalam, kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai “kestabilan dan transformasi politik” yang merangkumi pembaharuan Parlimen dan transformasi kerajaan.

Vendargon berkata, MoU ini hanya akan mengikat dari segi undang-undang jika ia adalah satu kontrak atau perjanjian dengan perincian dan kepastian yang khusus.

Bahkan Pejabat Perdana Menteri, katanya, memanggilnya sebagai MoU, menjadikannya hanya satu persefahaman untuk mendorong agenda bersama mengenai pembaharuan.

MoU ini mungkin digunakan untuk meluluskan Belanjawan, rang undang-undang dan agenda lain untuk melaksanakan pembaharuan.

“Ia masih bergantung kepada kedua-dua pihak untuk bersikap fleksibel dalam bagaimana mereka ingin meneruskan hal-hal berkaitan dasar,” kata Vendargon.

Kerajaan mungkin tidak mahu terikat dengan pertimbangan yang tidak berkaitan semasa memainkan peranan eksekutifnya dalam hal-hal berkaitan dasar.

“Begitu juga dengan pihak pembangkang yang ada prinsip dan hala tuju dasar tersendiri. Mereka mungkin mahu undang-undang mereka sendiri untuk mencapai prinsip dan manifesto mereka,” tambahnya.

Maka, kedua-dua pihak perlu berkompromi dan membuat pengorbanan agar MoU ini berjaya.

Walaupun bunyinya agak aneh bagi kerajaan persekutuan untuk menandatangani MoU dengan pihak pembangkang, Vendargon berpandangan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin menggunakan istilah “kerajaan” secara umum kerana pentadbiran sekarang tidak mempunyai nama rasmi.

“Ismail tidak boleh memanggilnya sebagai kerajaan PN (Perikatan Nasional) dengan PH, atau PN dan BN (Barisan Nasional) dengan PH.

“Untuk mengelakkan hal ini, beliau mungkin memutuskan untuk menggunakan istilah MoU antara kerajaan dan PH,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara Rais Yatim turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu.

Penganalisis sosio-politik Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata, walaupun aneh bagi mereka berdua untuk hadir semasa perjanjian politik dibuat, ini dapat dikaitkan dengan pembaharuan Parlimen.

“Mereka mungkin hadir sebagai simbol pembaharuan. Speaker sekarang boleh memberi lebih banyak masa kepada pembangkang untuk menyuarakan pandangan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.