9 sekeluarga sesat ketika kembara diselamatkan

9 sekeluarga sesat ketika kembara diselamatkan

Keluarga itu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sesat semasa melalui Denai Kembara Merinding Labuan, kira-kira 6 petang semalam semasa cuaca buruk.

Menurut bomba, seorang daripada mangsa mengalami kekejangan di kaki, manakala semua yang lain dalam keadaan selamat. (Gambar Bernama)
LABUAN:
Anggota penyelamat berjaya menemui dan membawa pulang sembilan sekeluarga yang sesat semasa melakukan aktiviti kembara di MTB Park, Bukit Merinding di sini, tengah malam tadi.

Keluarga itu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, sesat semasa melalui Denai Kembara Merinding Labuan, kira-kira 6 petang semalam semasa cuaca buruk dengan hujan lebat dan ribut petir serta keadaan yang gelap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Ismaidi Ismail berkata, pengembara sekeluarga itu dikenali sebagai Nizam Laile Suriani, 36; Siti Nurlina, 27; Khairul Nazmi, 27; Muhammad Adib Akil, tiga; Hanif Ikhwan Azwan, lapan; Muhammad Fitri Azami, sembilan; Muhammad Faiz Hazimi, 12; Muhammad Faris Hakimi, 15, dan Adam Mukhriz, 15.

Beliau berkata, selain daripada Siti Nurlina yang mengalami kekejangan di kaki, semua yang lain berada dalam keadaan selamat.

Ismaidi berkata, pihaknya menggerakkan sepasukan lapan anggota untuk mencari pengembara yang sesat itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada mereka kira-kira 6.34 petang.

“Kami memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 6.54 petang dan menemui semua pengembara itu setengah jam kemudian termasuk seorang wanita yang tidak mampu berjalan.

Pasukan kami terpaksa menggunakan tandu sebagai langkah menyelamat sementara yang lain pulang dengan selamat,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Katanya, pengembara berjalan kaki berkenaan tidak dapat mencari jalan balik selepas mereka terkeliru dengan tiga simpang yang ada di denai itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.